Nov 26, 2020 - FASRufino Segovia, pemain penyerang prolifik Selangor mengucapkan selamat tinggal setelah empat tahun berkhidmat bersama kem Selangor.
Pemain kelahiran Sepanyol ini telah memulakan kariernya bersama pasukan Merah Kuning sejak tahun 2017 setelah melengkapkan perpindahan dari kelab Hong Kong, Kitchee FC dan menjadi antara pemain tonggak yang membantu secara menyeluruh di bahagian serangan.
Rufino merupakan pemain yang digeruni pihak lawan telah melakukan 65 penampilan dan menjaringkan 46 gol sepanjang bermain dalam Liga M bersama pasukan Selangor.
Pada tahun 2018, Rufino telah mencetak 31 gol dalam saingan unifi Liga Super dan muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Malaysia dan meraih Anugerah Kasut Emas pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).
Penerimaan anugerah tersebut menjadikan 2018 sebagai musim terbaik dan paling manis beliau di Selangor.
“Dalam hidup ini, kadang-kadang kita berada di atas dan kadang kala di bawah. Tahun 2018 merupakan tahun terbaik saya di Selangor dan saya akan ingat kenangan terbaik musim itu bersama peminat dan pasukan selamanya,” ujar the Machine Gun, gelarannya di Selangor.
Namun malang menimpa kem Selangor apabila pada tahun 2019 apabila kecederaan tendon achilles menimpa beliau sewaktu perlawanan Liga Super ke-6 menentang Kuala Lumpur dan terpaksa diketepikan sehingga tamat musim tersebut.
Biarpun terpaksa akur dengan kecederaan yang dialami, beliau merupakan penjaring terbanyak pasukan pada waktu itu dengan tiga jaringan gol.
Setelah menjalani rawatan, Rufino telah membuat ‘comeback’ pada musim ini dan tersenarai dalam kesemua perlawanan CIMB Liga Super dan Piala Malaysia 2020.
Beliau juga telah menjaringkan dua jaringan gol menentang JDT dan PDRM serta membuat dua bantuan gol untuk rakan pasukannya, Brendan Gan menentang Pahang dan Ifedayo Olusegun melawan Felda United.
Rufino sangat bersyukur dengan kesempatan yang diberikan oleh pihak pengurusan FAS dan berterima kasih kepada FAS serta penyokong Selangor.
“Saya bersyukur dan bangga dengan pihak pengurusan FAS kerana mereka sentiasa memberikan yang terbaik untuk saya selama empat musim di sini,”
“Semasa saya datang ke Selangor, saya mendapat maklumat bahawa penyokong Selangor merupakan antara penyokong terbaik di Malaysia. Dalam tempoh seminggu, mereka telah membuktikannya. Saya sangat bangga dapat berkongsi kesemua kenangan yang baik bersama mereka. Keluarga saya sangat gembira melihat penyokong Selangor sentiasa meraikan saya,”
“Saya mendoakan kejayaan untuk Selangor di masa akan datang dan akan mengingati anda semua selamanya. Terima kasih Selangor!”
Pihak pengurusan Selangor mengucapkan ribuan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Rufino Segovia ‘the Machine Gun of Red Giants’. Semoga kita berjumpa lagi!