Nov 27, 2020 - FASSaingan bola sepak Malaysia musim 2020 telah tamat secara rasmi setelah pengumuman pembatalan Piala Malaysia disahkan pihak pengelola Malaysia Football League (MFL) pada 12 November yang lalu.
Dengan berakhirnya saingan musim ini, pihak pengurusan telah memutuskan untuk mengekalkan 15 pemain Gergasi Merah untuk meneruskan cabaran pasukan untuk musim 2021.
15 pemain yang kekal adalah termasuk 13 pemain tempatan seperti Brendan Gan, Syahmi Safari, Halim Saari, Khairulazhan Khalid, Wan Zack Haikal, Tauffiq Ar-rashid, Namathevan Arunasalam, Ashmawi Yakin, Sean Selvaraj, Mukahiri Ajmal, Sarkunan Krishnansamy dan Rodney Celvin.
Untuk barisan pemain import, Selangor mengesahkan bahawa penyerang sensasi dari Nigeria, Ifedayo Olusegun terus kekal, selain pemain Singapura, Safuwan Baharudin untuk mengisi kuota pemain ASEAN.
Posisi seorang lagi pemain import Selangor, Sandro da Silva masih lagi belum diputuskan kerana ia masih lagi dalam perbincangan.
Menjadi lumrah dalam kancah bola sepak yang akan ada pemain yang dilepaskan dan tidak bersama pasukan untuk musim seterusnya.
Selangor akan merindui beberapa kelibat pemain yang telah membantu pasukan Merah Kuning musim ini. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan selamat maju jaya kepada kepada kapten pasukan, Taylor Regan, Syazwan Zainon, Khyril Muhymeen, Farizal Harun, Nicholas Swirad, Prabakaran Kanadasan, Zahril Zabri dan Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Media FA Selangor, Syazwan Zainon yang mewakili pemain-pemain yang meninggalkan Selangor memberikan komen berikut:
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik kelab, DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, rakan sepasukan dan semua yang telah banyak membantu saya selama saya dua tahun di sini."
"Saya harap di masa hadapan, kita akan dapat berjumpa lagi. Tak kiralah sebagai kawan atau musuh, teruskanlah menyokong pasukan Selangor."
Peminat Gergasi Merah juga melihat pemenang Anugerah Kasut Emas 2018, Rufino Segovia dilepaskan oleh pasukan Selangor selepas empat musim bersama pasukan dan pernah menjadi watak penting yang membawa Selangor ke pentas Piala FA 2018.
"Saya mengucapkan selamat tinggal kepada anda semua. Empat musim yang terbaik dalam hidup saya, dengan pe yokong terbaik yang boleh saya impikan, sebuah kelab dan penyokong yang memberikan segalanya untuk saya dan saya memberikan segalanya untuk anda," komen Rufino di akaun Instagram miliknya.
"Hari ini merupakan hari yang sedih bagi saya, namun saya bersyukur kerana saya pernah bermain untuk pasukan Selangor. Saya harap dapat kembali semula sebagai sebagai seorang jurulatih."
"Saya akan sentiasa menyanyangi dan mengingati kamu selamanya," tambah Rufino.
Walau bagaimanapun, Michael Feichtenbeiner sebagai Pengarah Teknikal Selangor telah membuka pintu untuk pemain-pemain muda dari Selangor 2 beraksi dalam pasukan utama Merah Kuning untuk musim 2020 bagi mengisi kekosongan yang ditanggalkan oleh pemain-pemain senior mereka.
Pemain Selangor 2 yang telah membuat debut dalam saingan Piala Malaysia musim ini seperti Aliff Haiqal Lau, Zikri Khalili dan Danial Asri akan diserap ke pasukan utama Selangor.
Selain itu, pemain pertahanan tengah dan ketua pasukan Selangor 2, Sharul Nazeem dan penjaga gol muda, Sikh Izhan Nazrel turut tersenarai untuk menyarung jersi pasukan utama Gergasi Merah musim hadapan.
Pihak pengurusan Selangor juga dijangkakan akan mengumumkan muka-muka baru untuk membarisi pasukan utama musim hadapan menjelang minggu hadapan.
Nantikan pengumuman-pengumuman rasmi yang akan menyusul pada bulan Disember ini di semua saluran sosial media rasmi Selangor FC.
Demi kebanggaan!
Tonton video perpisahan skuad 2020 di sini.
Tonton video tribut untuk Rufino Segovia di sini.