The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Syahmi Safari: Teruskan Usaha, Sedaya Upaya

Dec 05, 2020 - FAS

Pasukan Selangor sangat dikenali sebagai salah satu pasukan yang sering melahirkan pemain-pemain muda berbakat yang berjaya menempah nama di pentas Liga Malaysia.

Syahmi Safari, pemain pembanggunan daripada skuad Presiden Selangor tahun 2016 yang dibanggakan oleh penyokong Gergasi Merah, baru sahaja diumumkan kekal bersama pasukan utama Selangor beberapa minggu yang lalu, merupakan salah seorang daripada mereka.

Baca mengenai #StillRED Syahmi di sini.

Beliau merupakan antara pemain muda yang telah berjaya memikat hati ketua jurulatih Selangor 2017, Nazliazmi Nasir dan P. Maniam untuk memberi kepercayaan kepadanya bermain di bahagian sayap kanan pasukan utama Gergasi Merah sepanjang musim tersebut.

Anak jati Selangor ini telah melakukan debut sewaktu menentang Penang FA dan telah berjaya mencatat gol sulungnya dalam aksi ketiga kejohanan Liga Super menentang PKNS FC pada 4 Februari 2017.

Syahmi yang berusia 19 tahun ketika itu telah bermain selama 90 minit dalam hampir kesemua perlawanan dan merupakan pemain tonggak pasukan biarpun dikelilingi pemain-pemain yang lebih berpengalaman.

Aksi cemerlang Syahmi berjaya membuatkan beliau dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan, Harimau Malaya dan tersenarai dalam kesebelasan utama pada tahun 2018 walaupun baru dua musim bermain di kancah tertinggi bolasepak Malaysia.

Selama empat tahun bersama Selangor, Syahmi telah bermain sebanyak 86 perlawanan termasuk Piala Malaysia tahun ini dan telah meledak 12 jaringan gol biarpun sering kali bertukar posisi diantara sayap kanan dan pertahanan kanan

Lima pemain tonggak utama pasukan Selangor 2, Sharul Nazeem, Danial Asri, Aliff Haiqal Lau, Zikri Khalili dan Sikh Izhan Nazrel dilihat mendapat peluang yang sama seperti Syahmi selepas mereka baru sahaja diumumkan minggu lalu bakal menyarung jersi pasukan utama Gergasi Merah pada musim hadapan.

Baca mengenai lima pemain baharu di sini.

Syahmi sempat berkongsikan nasihat kepada mereka daripada pengalamannya selama empat tahun bermain sebagai pemain senior pasukan Selangor di usia muda. Beliau mahukan mereka menggunakan peluang ini dengan sebaiknya.

“Pemain-pemain muda ini dikelilingi pemain-pemain tempatan dan import yang baik. Nasihat saya adalah gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk belajar daripada mereka. Peluang tidak akan datang bergolek, ini adalah rezeki kita dapat bermain dalam skuad utama di usia muda,” kata Wakmi, nama gelarannya dalam pasukan.

“Kalau tak dapat peluang bermain, teruskan usaha sedaya upaya, kita kena perlu berkerja keras untuk merebut peluang itu. Jangan cepat mengalah. Peluang untuk bermain di pasukan utama adalah sangat susah. Belajar perkara baik untuk diri sendiri daripada pemain-pemain senior, ini yang penting,” tambahnya dengan harapan agar pemain muda baharu tidak mudah putus asa.

“Kita bermain bukan untuk hari ini sahaja, tapi untuk hari yang akan datang. Ini adalah periuk nasi kita, jadi jaga dengan sebaik mungkin. Jaga diri dan selamat berjaya semua,” ujar Syahmi yang bakal bermain untuk tahun ke-5 dalam pasukan utama Selangor.

Selangor FC berharap pemain-pemain muda yang bakal beraksi untuk musim hadapan bersama pasukan utama Gergasi Merah dapat menerima nasihat daripada Syahmi bagi membantu mereka mempersiapkan diri untuk bermain di liga kompetitif tertinggi Malaysia.

Semoga berjaya!