SELANGOR FC
BERITA

RASMI: R. Dinesh Is RED!

Dec 15, 2020 - FAS

Bekas pemain lincah Pahang, Dinesh a/l Rajasingam kini sah menjadi ahli keluarga terbaru kem Gergasi Merah untuk mengisi posisi pertahanan kiri.

Pemain yang dilahirkan di Setapak ini telah bergiat aktif dalam kancah bola sepak sejak di bangku sekolah lagi ketika beliau menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil dari tahun 2012 sehingga 2015.

Memiliki kepantasan dan teknik kawalan bola yang baik, Dinesh merupakan pemain tonggak utama skuad B16 kebangsaan 2013 di bawah kendalian S. Balachandran yang menjulang trofi kemenangan untuk Malaysia dalam kejohanan bola sepak ASEAN Football Federation (AFF) di Myanmar.

Untuk rekod, Dinesh merupakan salah seorang pemain yang berjaya membawa kemenangan tersebut setelah menjaringkan gol penalti sewaktu perlawanan akhir menentang pasukan Indonesia dengan keputusan 3-2.

Pemain pertahanan kiri ini telah memulakan karier profesionalnya dalam kancah bola sepak Malaysia bersama pasukan Pahang sejak tahun 2016. Beliau juga telah membuat penampilan sebanyak 16 perlawanan selama empat musim bersama skuad gergasi Pantai Timur tersebut.

Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner merasakan Dinesh merupakan pemain yang tepat untuk melangkapkan persediaan pasukan untuk musim akan datang.

“Dinesh mempunyai usia yang muda namun sudah mempunyai pengalaman yang luas bermain dalam saingan Liga Super. Saya yakin beliau dapat membantu Selangor sebagai pemain pertahanan kiri atau sayap kiri dengan kemahiran yang dimilikinya,” ulas Michael.
 
“Kami bersyukur kerana kami memiliki seorang lagi pilihan pemain yang sesuai selain Zikri Khalili untuk menampung kehilangan K. Prabakaran yang dilepaskan pada hujung musim lalu. Beliau adalah pengganti yang terbaik,” tambahnya.

Bercakap kepada Media Selangor FC, Dinesh tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk beraksi dalam jersi Merah Kuning.

“Saya amat teruja dan tak sabar untuk beraksi bersama pasukan Selangor untuk musim hadapan.”

“Saya akan cuba sedaya upaya dan belajar sebanyak mungkin dari barisan jurulatih dan rakan sepasukan yang baru,” kata pemain yang berusia 22 tahun ini.

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada R. Dinesh dan semoga beliau dapat memantapkan barisan jentera pertahanan pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim hadapan.

Dinesh merupakan pemain terbaru ketiga yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama Selangor FC selepas Shahrel Fikri dan Tim Heubach diperkenalkan pada minggu lalu.

Baca mengenai pengumuman Shahrel Fikri di sini atau tonton video penuh temu ramah kami bersama beliau di sini.
 
Baca mengenai pengumuman Tim Heubach di sini atau tonton video pengumuman beliau di sini.

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim hadapan.

Demi Kebanggaan!