Dec 23, 2020 - FASAwal minggu ini, pihak Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan senarai pencalonan untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK20) dan seramai lima individu dari Selangor FC telah tersenarai untuk empat kategori yang bakal berlangsung pada 30 Disember ini.
Empat kategori tersebut adalah:-
• Pemain Tengah Terbaik: Syahmi Safari dan Brendan Gan
• Penjaga Gol Terbaik: Khairulazhan Khalid
• Penyerang Terbaik: Ifedayo Olusegun
• Jurulatih Terbaik: Michael Feichtenbeiner
Setelah menjadi pemangku ketua jurulatih Selangor 2020 untuk empat perlawanan (CIMB Liga Super), Michael Feichtenbeiner berterima kasih kepada pasukan dan menyatakan keterujaannya apabila tersenarai sebagai calon Ketua Jurulatih Terbaik musim ini.
“Saya gembira kerana tercalon dalam 10 Ketua Jurulatih Terbaik ABK20. Apa yang saya faham, ada beberapa jurulatih lain dari Liga Premier turut tersenarai, jadi saya menganggap mereka (MFL) mungkin mengambil kira prestasi berdasarkan perlawanan saya bersama Selangor 2 sekali,” jelas Michael.
“Saya telah mengendalikan lapan perlawanan awal Liga Premier bersama Selangor 2 dan empat perlawanan terakhir CIMB Liga Super bersama pasukan utama Gergasi Merah. Jadi, secara keseluruhan saya telah mengendalikan 12 perlawanan”.
“Pencalonan ini diambil hasil persembahan baik barisan kejurulatihan dan para pemain kedua-dua pasukan. Pujian harus diberikan kepada mereka,” tambah Michael.
Selain Michael Feichtenbeiner, Brendan Gan juga sempat berkongsikan kegembiraan beliau setelah tercalon untuk kategori Pemain Tengah Terbaik ABK20.
“Saya sangat teruja kerana dicalonkan dalam kategori Pemain Tengah Terbaik ABK20. Saya telah berkerja keras sepanjang musim ini walaupun ia merupakan musim yang sukar ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia,” terang Brendan mengenai musim debutnya bersama Gergasi Merah.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana mereka telah memberikan sokongan kepada saya sepanjang tahun pertama saya di sini. Kami telah bekerja keras dan bersama-sama mengharungi musim ini sebagai sebuah pasukan,” kata Brendan Gan sewaktu ditemubual oleh Media Selangor FC.
Untuk rekod, pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia ini telah menjaringkan empat gol dan mencipta satu bantuan gol dalam 11 penampilan untuk Gergasi Merah musim ini.
Sejajar dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ABK20 yang dikelolakan oleh Malaysia Football League (MFL) ini akan dilangsungkan secara virtual.
Dari segi pemilihan pemenang pula, 70 peratus undian akan dihakimi oleh panel profesional dan manakala baki 30 peratus adalah daripada undian para penyokong.
Undi pemain-pemain Selangor FC di sini: http://bit.ly/ABK20Fans
Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada semua individu yang tercalon untuk anugerah ABK20. Selamat berjaya!