The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Pra-Musim: Selangor Atur 7 Perlawanan Persahabatan

Jan 06, 2021 - FAS

FAS Training Centre kembali meriah dengan kehadiran pemain-pemain dan barisan kejurulatihan Red Giants setelah memulakan sesi latihan pra musim bermula pada 4 Januari yang lalu.

Isnin lalu merupakan hari pertama latihan rasmi pemain-pemain baharu Selangor seperti Shahrel Fikri, Tim Heubach, Dinesh Rajasingam dan Nik Sharif Haseefy bersama kem Red Giants musim 2021.

Tim Heubach gembira dapat kembali bermain bola sepak setelah sekian lama berehat daripada cuti sebelum pra musim.

“Ini merupakan latihan pertama kami setelah berehat panjang. Setiap pemain harus mencari rentak masing-masing untuk mencapai tahap kecergasan mereka. Saya rasa sangat teruja dengan latihan yang dijalankan dan ini hanyalah permulaan, banyak lagi yang akan kami tempuhi,” jelas pemain pertahanan tinggi lampai itu.

Selain Tim, penggempur baharu Gergasi Merah, Shahrel Fikri juga menyatakan keterujaan beliau setelah dapat berlatih bersama rakan pasukan dan barisan jurulatih yang baharu untuk dirinya.

“Saya teruja dapat berjumpa dengan kawan-kawan baru, jurulatih baru, pemain import baru dan kawan lama semasa latihan baru-baru ini. Walaupun saya rasa tak sabar untuk kembali berlatih, dalam masa yang sama saya sedikit gementar,” ujar Shahrel.

Selain pemain, ketua jurulatih baharu Selangor FC, Karsten Neitzel juga turut teruja dengan kualiti yang dimiliki oleh pasukan kendaliannya pada hari pertama latihan selain sempat berkongsikan rancangan pra musim pasukan.

“Mereka menunjukkan sikap yang bagus dan mereka juga menikmati program latihan yang dijalankan. Saya melihat kualiti yang baik dari mereka biarpun baru pertama kali mengendalikan pasukan,” tegas pengendali dari Jerman ini.

“Saya berharap pemain akan mencapai tahap terbaik dan berlatih dengan tanpa sebarang kecederaan. Saya mahu mereka bersikap telus dengan saya jika mereka mempunyai masalah, saya lebih suka mereka tidak menyembunyikannya dari saya.”

“Kami merancang untuk mengadakan tujuh perlawanan persahabatan pra musim beserta kem latihan sebelum liga bermula. Pihak pengurusan Selangor FC telah memberikan peluang yang baik untuk kami mempersiapkan musim ini dan kami akan menggunakannya dengan sebaik mungkin,” kata Karsten sebelum menamatkan temu bual bersama Media Selangor FC.

Selangor FC menghargai sikap positif yang ditunjukkan para pemain dan barisan jurulatih untuk musim 2021 ini. Semoga Gergasi Merah akan terus bersedia untuk menghadapi musim 2021.

Selamat kembali Red Giants!