The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

MBSA Jalin Kerjasama Strategik Bersama Selangor FC

Jan 08, 2021 - FAS

Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini menjalinkan kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas selesainya majlis penyerahan cek sumbangan dan perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak.

Majlis ringkas yang berlangsung di FAS Training Centre, Shah Alam turut disaksikan oleh Pengerusi Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan YBhg. Dato’ Haji Haris bin Kasim, Datuk Bandar Shah Alam. 

Majlis ini menyaksikan pihak MBSA menyumbangkan dana tunai sebanyak RM500,000 sebagai penajaan kepada pasukan Selangor FC bagi menghadapi musim 2021.

Kerjasama antara Selangor FC dan MBSA dilihat bakal menyalurkan kepakaran dan perkongsian strategik lain seperti logistik, fasiliti dan dalam masa yang sama, usaha memperkasakan bola sepak di peringkat akar umbi di negeri Selangor.

MBSA merupakan antara entiti yang telah banyak menyokong usaha membangunkan bola sepak di negeri ini melalui pembabitan pasukan bola sepak mereka yang bertanding di liga peringkat negeri serta akademi bola sepak yang banyak memberi perhatian kepada pembangunan peringkat akar umbi. Sekaligus, kerjasama ini dilihat bakal memberi impak yang positif kepada kedua-dua pihak.

Menurut YBhg, Dato’ Haji Haris bin Kasim, Datuk Bandar Shah Alam, “Kerjasama erat antara Selangor FC dan MBSA sudah lama terjalin. Malahan, bandar raya Shah Alam juga cukup sinonim sebagai rumah kepada pasukan Gergasi Merah. Oleh itu, MBSA merasa terpanggil untuk memainkan peranan sebagai salah satu rakan strategik untuk pasukan Selangor.”

Jelas Dato’ Haji Haris bin Kasim lagi, “Di bawah kepimpinan DYTM Tengku Amir Shah, kami berharap pihak Selangor FC akan menggunakan sumbangan ini sebaiknya dan ia bakal menjadi pembakar semangat kepada pemain Gergasi Merah untuk memberikan aksi yang terbaik demi pasukan. Kami juga mahu mendekatkan lagi hubungan kami dengan warga Shah Alam, yang rata-ratanya merupakan penyokong tegar pasukan Selangor.”

Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC juga senada dan berpendapat kerjasama ini akan memberikan impak positif kepada kedua-dua entiti.

Bercakap kepada Media SFC, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MBSA atas kerjasama strategik ini dan berharap agar lebih ramai entiti korporat lain turut tampil untuk bersama mengembalikan zaman kegemilangan Gergasi Merah.

“Selangor FC mengucapkan terima kasih atas sumbangan wang tunai, kepakaran dan logistik yang diberikan oleh pihak MBSA dan sudah tentu sumbangan ini akan memperkemaskan lagi persediaan pasukan Selangor untuk musim 2021, termasuk program pembangunan pasukan elit di bawah Selangor, terutamanya setelah pasukan ini telah diswastakan sebagai pasukan bola sepak profesional sejak Disember lalu,” tambah Dr. Johan.

Sementara itu, pasukan Selangor dilihat sedang menjalani persediaan rapi dengan dijadualkan bakal menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum saingan Liga Super 2021 pada hujung bulan Februari yang akan datang.