SELANGOR FC
BERITA

KENALI PEMAIN: Ahmad Danial Asri

Jan 08, 2021 - FAS

Ahmad Danial Ahmad Asri (Danial Asri) atau lebih mesra dengan panggilan Chang dalam pasukan, merupakan penyerang muda prolifik Selangor 2 yang telah dinaikkan ke pasukan utama Red Giants musim 2021.

Chang mula melibatkan diri dalam dunia bolasepak di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato 'Harun. Antara kejayaan yang pernah beliau kecapi sebelum ini adalah Piala SuperMokh 2017, naib johan B15 tahun MSSM dan tempat ke-3 MSSM B17 tahun.

Sebaik tamat zaman persekolahan, beliau yang mengidolakan Amri Yahyah mula melakar perjalanan awal dalam dunia bolasepak dengan bermain untuk pasukan Belia Selangor selepas berjaya memikat hati jurulatih sewaktu sesi pemilihan pada hujung tahun 2017.

Beliau juga telah menjadi pemain tonggak dan kapten pasukan Belia Selangor serta membuat sebanyak 42 penampilan dari tahun 2018 hingga 2019.

Antara kejayaan lain pada 2018 adalah beliau menjuarai Piala Sumbangsih serta menjadi juara Liga Divisyen 1 Liga Bolasepak IPT sewaktu mewakili UiTM Shah Alam.

Karier professional Chang bermula apabila dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan Selangor 2, Michael Feichtenbeiner setelah menjaringkan dua gol sewaktu perlawanan persahabatan menentang Geylang International FC.

Beliau turut bermain dalam kesemua perlawanan bagi musim 2020 bersama Selangor 2 dan dianugerahkan sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan dalam saingan Liga Premier dengan tujuh jaringan gol.

“Saya mendedikasikan penghargaan ini kepada semua jurulatih, rakan sepasukan di Selangor yang menyumbang kepada saya untuk mendapat anugerah ini dan juga saya tidak lupa kepada semua keluarga, rakan dan peminat saya yang sentiasa menyokong saya, terima kasih untuk anda semua,” kata Chang selepas menerima anugerah tersebut semasa Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020.

Tahun 2020 terus menjadi tahun yang cemerlang bagi Chang apabila berjaya membuat debut bersama pasukan utama Selangor dalam saingan Piala Malaysia menentang Melaka United.

“Saya tidak menjadikan saingan bersama pemain senior sebagai beban dan hanya berfikiran positif serta memperbaiki diri untuk kebaikan sendiri dan pasukan. Saya juga ingin menimba ilmu dari barisan jurulatih dan pemain senior yang lebih berpengalaman dalam industri bola sepak. Saya mahu memberikan saingan yang sihat kepada mereka,” jelas Chang selepas diumumkan sebagai pemain pasukan utama Selangor musim 2021.

Chang juga bercita-cita untuk beraksi bersama pasukan senior Harimau Malaya dan bermain di luar negara satu hari nanti.

Selangor FC mendoakan kejayaan Chang untuk musim 2021 bersama pasukan utama Selangor dan semoga beliau terus mempamerkan aksi yang cemerlang dalam kancah bolasepak Malaysia.

Semoga berjaya Chang!