SELANGOR FC
BERITA

Selangor 2 Terima Duo Ghana Sambil Persiapan Diteruskan

Jan 20, 2021 - FAS

Persiapan pramusim bagi pasukan Selangor 2, Presiden dan Belia yang telah bermula sejak awal Januari masih berlangsung secara atas talian, biarpun negeri Selangor sedang menjalani Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketiga-tiga pasukan juga telah menjalani beberapa ujian asas kecergasan seperti Sprint Test, Yo-yo Intermittent Recovery Test Level 2, One Rep Max dan Functional Movement Screen (FMS) bagi menguji keupayaan dan kecergasan para pemain sebelum liga bermula kelak.

Pasukan-pasukan pembangunan ini adalah antara pasukan terawal yang telah menerima DNA bola sepak baharu sejak awal musim lalu membuatkan Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner merasakan ini adalah peluang terbaik untuk pasukan kejurulatihannya menyuntik falsafah ini secara terperinci.

"Barisan jurulatih dan pemain dari Selangor 2, Presiden dan Belia telah memperoleh pemahaman dan penyesuaian dalam DNA Selangor FC sejak dari mula lagi. Musim ini adalah peluang terbaik untuk menerapkannya dengan lebih terperinci," ujar Michael apabila ditanya mengenai rancangan musim ini kepada skuad pembangunan Gergasi Merah.

"Jika mereka dapat menerima falsafah bola sepak ini dengan baik dan satu hari nanti berpeluang bermain di peringkat yang lebih tinggi. Ini adalah matlamat utama DNA Selangor FC diwujudkan," tambahnya lagi.

Sedang persiapan pramusim sedang giat dijalankan, skuad Selangor 2 diperkuatkan lagi dengan penyertaan dua pemain import dari kelab bola sepak Accra Lions secara pinjaman, George Attram, 20 tahun dan Jordan Ayimbila, 19 tahun yang telah tiba dan selesai menjalani kuarantin pada 11 Januari yang lalu.

Menurut Michael, beliau yakin kedua-dua pemain penyerang dan pertahanan tengah itu mampu menyesuaikan diri mereka dengan DNA Selangor FC.

"Saya gembira kedua-dua mereka mahu menyertai Selangor FC dan ini adalah peluang bagi mereka untuk mengembangkan karier bola sepak di sini. Red Giants FC bukan sahaja ingin menghasilkan bakat tempatan yang hebat untuk Liga Super, tetapi juga mengembangkan bakat pemain import," jelas Michael.

"Ketua jurulatih Accra Lions FC, Rainer Kraft Accra adalah kenalan saya. Pasukan ini telah menghasilkan ramai pemain muda Afrika yang bermain di kelab Eropah dan Timur Tengah. Jadi, saya yakin tidak akan ada masalah untuk George dan Jordan untuk menyesuaikan diri dengan DNA bola sepak Selangor FC,"

"Bagi saya, ini ada peluang besar dalam perniagaan bola sepak. Mereka dapat mengembangkan bakat mereka di sini. Sekiranya mereka sudah bersedia dan jika ada kelab atau pasukan dari luar ingin mendapatkan mereka, kami bersedia memasarkan mereka untuk liga yang lebih besar pada masa hadapan,” ujar Michael.

“Ini bukan sahaja baik untuk masa hadapan kelab, malah ia juga bakal membuka peluang baru buat mereka sebagai pemain bola sepak professional di tahap yang lebih tinggi.”

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada George Attram dan Jordan Ayimbila ke pasukan Selangor 2 dan selamat berusaha untuk skuad Selangor 2, Presiden dan Belia 2021.

Demi kebanggaan!