The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Bakal Lancar Jersi Home 2021 Awal Februari Ini

Jan 29, 2021 - FAS

 

Selangor FC (SFC) bakal memperkenalkan jersi home musim 2021 pada 1 Februari ini secara digital di kesemua platform media sosial rasmi kelab.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pandemik COVID-19 telah memaksa SFC untuk tidak menganjurkan Hari Bola Sepak Selangor yang berlangsung saban tahun. Sebelum ini, Hari Bola Sepak Selangor merupakan hari di mana jersi pasukan akan diperkenalkan kepada umum, selain majlis pengenalan pemain dan sesi pertemuan pihak pengurusan dengan penyokong.

Pelancaran jersi home Gergasi Merah pada tahun ini agak berbeza kerana ia dilangsungkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun pihak SFC yakin keunikannya akan menarik minat para penyokong untuk memilikinya.

Industri bola sepak negara telah terjejas dengan teruk ekoran pandemik COVID-19, terutamanya selepas penswastaan penuh telah berlaku untuk musim ini. SFC tidak mahu peminat bola sepak merasakan bahawa kelab telah melupakan mereka kerana sesungguhnya, bola sepak tidak pernah berhenti di kelab ini.

Biarpun hanya melancarkan jersi home 2021 secara digital, pihak SFC akan berusaha untuk memastikan segalanya berjalan lancar semasa hari pengenalan jersi ini kepada umum. 

Semoga pelancaran jersi home 2021 bakal mendapat sokongan dari peminat SFC, terutamanya ketika pendapatan kelab-kelab bola sepak di Malaysia sangat terjejas dengan larangan penyokong ke stadium, pengurangan jumlah perlawanan dan pembatalan kejohanan Piala Malaysia pada musim lalu.

Pada musim lalu, kelab ini telah memperkenalkan keunikan terhadap jersi home yang menggunakan warna merah darah hati dan jingga berbanding warna tradisi merah kuning selain jersi “black out” untuk jersi ketiga sehingga mendapat perhatian dari peminat bola sepak dalam dan luar negara.

Semoga para penyokong Gergasi Merah akan terus bersatu dan menyokong usaha yang dilakukan oleh kelab ini, terutamanya ketika Industri bola sepak negara sedang meniti masa-masa mencabar kerana impak pandemik ini benar-benar dirasai. Pihak pengurusan SFC akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk para penyokong dalam mengembalikan zaman kegemilangan Selangor dalam kancah bola sepak Malaysia.

Demi kebanggaan.