Feb 04, 2021 - FASPelancaran jersi Home Selangor 2021 hari Isnin laLu telah mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila telah berjaya menarik sebanyak lebih 6,300 tontonan secara langsung sewaktu ia dilancarkan secara atas talian di platform Facebook Selangor FC (SFC).
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pandemik COVID-19 telah memaksa SFC untuk tidak menganjurkan Hari Bola Sepak Selangor yang berlangsung saban tahun. Sebelum ini, Hari Bola Sepak Selangor merupakan hari di mana jersi pasukan akan diperkenalkan kepada umum, selain majlis pengenalan pemain dan sesi pertemuan pihak pengurusan dengan penyokong.
Menjadi pasukan pertama yang melancarkan jersi bagi menghadapai musim 2021, SFC telah menerima pelbagai respon positif daripada penyokong Selangor dan juga pemerhati bola sepak Malaysia untuk rekaan jersi yang diinspirasikan daripada pasukan Merah Kuning sewaktu menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 1986 itu.
Selain menerima komen-komen positif di laman sosial, jersi retro bertemakan "Legasi Mokhtar Dahari" ini juga mendapat perhatian portal-portal sukan di dalam dan luar negara terutamanya daripada Indonesia. Ini kerana salah seorang pemain legenda mereka, Ristomoyo Kassim juga merupakan sebahagian dari skuad 1986 dan turut menjaringkan gol pada perlawanan final tersebut.
Untuk rekod, jersi yang menerapkan elemen bunga tanjung sebagai simbolik negeri Selangor ini telah habis dijual sebanyak 6,000 helai kurang dari tempoh 48 jam di kedai online Selangor FC dan di kesemua vendor pengeluar jersi rasmi pasukan Merah Kuning, Joma.
Bagi menghargai sambutan yang menggalakkan ini, Selangor FC akan menambah lagi 1,600 helai stok baharu minggu ini selewat-lewatnya esok di kedai atas talian Selangorfc.com untuk mereka yang tidak berkesempatan membelinya sebelum ini, manakala edisi penyokong pula akan mula dijual selepas sambutan Tahun Baharu Cina, Februari ini.
Pihak pengurusan Selangor FC amat menghargai dan berterima kasih kepada kesemua penyokong Red Giants atas sambutan yang hangat untuk jersi Home pertama Selangor FC ini. Teruskan menyokong pasukan Merah Kuning.
Jersi home 2021 SFC ini dijual dengan harga RM109 untuk versi edisi pemain dan tambahan RM45 dikenakan untuk tambahan “customized nameset” di belakang jersi, manakala pemegang Red Giants Team Card 2021 pula bakal menikmati 10% diskaun untuk harga jersi ini.
Demi Kebanggaan!