SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Umum TDC Holdings Sebagai Rakan Strategik Terbaru

Feb 11, 2021 - FAS

Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini telah mengumumkan TDC Holdings Sdn Bhd sebagai rakan strategik terbaru selepas selesai majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak, awal minggu lalu.

Majlis ringkas yang berlangsung di FAS Training Centre, Shah Alam itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TDC Holdings, En. Hafiz Hiew.

Perjanjian ini menyaksikan pihak TDC Holdings menyuntik sumbangan tunai sebanyak RM500,000 sebagai penajaan kepada pasukan Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Ditubuhkan pada 2016, TDC Holdings Sdn Bhd adalah salah satu daripada beberapa syarikat Pemasaran Pelbagai Peringkat (MLM) milik Muslim di Malaysia yang tidak hanya mematuhi undang-undang Malaysia, malah mencapai piawaian SIRIM dan Pematuhan Syariah dari segi pengurusan, rancangan pemasaran, produk dan kewangan pengurusan.

Menurut En. Hafiz Hiew, Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings, "Kami di TDC Holdings berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah. Kami yakin bahawa kerjasama ini dapat mendekatkan lagi jenama dan produk kami dengan penyokong Selangor FC di seluruh negara."

"Kami juga berharap jalinan kerjasama ini dapat memberi motivasi yang lebih kepada pemain untuk terus bersemangat dalam usaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan Gergasi Merah."

Dr. Johan turut senada menzahirkan rasa gembira dan berpendapat kerjasama ini akan memberikan impak positif kepada kedua-dua entiti.

"Kami di Selangor FC sangat teruja dan gembira di atas pengumuman ini. Tatkala ekonomi dunia sedang hebat dibadai COVID-19, saya mewakili SFC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada TDC Holdings di atas tajaan ini. Dengan penswastaan SFC, kami memerlukan lebih banyak rakan strategik berkualiti seperti TDC Holdings."

"Sebagai rakan strategik terbaru kami, Selangor FC akan mencuba sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan. Kerjasama ini juga jelas membuktikan sukan bola sepak masih relevan sebagai platform untuk syarikat-syarikat berjenama besar melabur dan berkongsi kepakaran di antara satu sama lain," tambah Dr. Johan.

SFC sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada TDC Holdings dan berharap perjanjian kerjasama ini dapat membuka lebih banyak mata syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan strategik Red Giants.

Sementara itu, skuad Selangor sedang giat mempersiapkan pasukan untuk memulakan kempen Liga Super Malaysia 2021 yang akan memulakan aksi sepak mula pada awal bulan Mac akan datang.

Demi kebanggaan!