SELANGOR FC
BERITA

Coach Karsten: Tempoh Persediaan Singkat Perlu Digunakan Sebaiknya

Feb 12, 2021 - FAS

Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kebenaran untuk program latihan berpusat untuk beberapa sukan termasuk bola sepak kerana musim 2021 akan dimulakan secara rasmi awal bulan depan.
 
Ini adalah berita baik bagi pegawai dan pemain bola sepak setelah menjalani hampir sebulan tanpa latihan yang sewajarnya kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
 
Semasa PKP dimulakan baru-baru ini, barisan kejurulatihan Selangor FC telah melakukan yang semampunya dalam memastikan pemain bersedia untuk apa jua kemungkinan. Para pemain diberi satu set program individu, wajib menghadiri sesi latihan melalui Zoom selain sesi pendedahan taktikal permainan melalui sesi video secara berkumpulan.
 
Walau bagaimanapun, program-program ini jelas tidak mencukupi untuk mempersiapkan pemain dalam keadaan terbaik mereka untuk permulaan liga tidak lama lagi. Selepas pengumuman kebenaran latihan berpasukan pada minggu lalu, setiap pasukan kini hanya mempunyai masa kurang dari tiga minggu untuk membuat persiapan sebelum liga kembali.
 
Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel tidak dapat menyembunyikan perasaan bercampur baurnya mengenai tempoh latihan pasukan yang singkat. Walaupun begitu, dia tetap positif dan cuba sedaya upaya memperhalusi strateginya untuk memanfaatkan setiap sesi latihan sebaik mungkin.
 
"Sudah tentu, semua peminat bola sepak gembira bahawa sukan ini akan kembali tidak lama lagi dan ini juga berita yang dinantikan oleh semua pegawai dan pemain Selangor FC," kata Karsten.
 
"Namun, dengan tempoh kurang dari tiga minggu untuk persiapan, setiap jurulatih perlu merancang setiap sesi latihan dengan cermat dan teliti, supaya para pemain akan mendapatkan hasil yang maksima. Pada masa yang sama, kita perlu memastikan bahawa mereka (pemain) tidak mendapat sebarang kecederaan sebelum liga bermula," tambahnya.
 
"Selebihnya, saya dan kesemua jurulatih Selangor FC akan melakukan yang terdaya untuk mengembalikan kecergasan perlawanan pemain Red Giants secepat mungkin kerana kami mahukan kejayaan, kerana ini adalah matlamat kami untuk musim yang akan datang."
 
Untuk rekod, Selangor FC telah merancang tiga perlawanan persahabatan sebelum perlawanan liga pertama mereka untuk mengukur kesefahaman antara pemain kesesuaian dengan corak permainan selain memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik, baik dari segi fizikal dan mental.
 
Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Coach Karsten, barisan jurulatih dan pemain Red Giants untuk musim baru yang akan datang. Semoga musim ini lebih baik daripada yang sebelumnya.
 
Demi Kebanggaan!