Feb 17, 2021 - FASPasukan utama Selangor FC kembali menjalani latihan berpusat selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) sejak bulan Januari yang lalu.
Karsten Neitzel, ketua jurulatih Selangor FC nyata gembira dengan semangat yang tinggi ditunjukkan para pemain semasa latihan selain merancang beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan dalam kawasan Lembah Klang.
"Saya dapat melihat pemain gembira kembali berlatih dan mereka juga menunjukkan sikap yang baik di atas padang. Kesemua barisan kejurulatian mahu mengekalkan semangat ini sehingga habis musim ini," ujar Karsten.
"Kebiasaannya, terdapat banyak sesi latihan sepanjang tempoh pra musim, tetapi kali ini pemain Selangor tidak akan melakukan latihan dua kali sehari seperti kebiasaannya. Sebaliknya, mereka tidak akan bercuti sepanjang 14 hari yang akan datang. Ini untuk membantu mereka mencapai kecergasan perlawanan (match fitness) yang baik dan bersedia untuk pertandingan pada bulan hadapan," jelasnya lagi.
Sesi latihan kali ini juga disertai oleh seorang pemain import terbaharu Selangor FC, Oliver ‘Oli’ Buff yang sebelum ini tidak sempat berlatih bersama rakan sepasukannya ekoran perlaksanaan PKP 2.0 yang berkuatkuasa sehari selepas beliau diumumkan sebagai pemain Red Giants.
Menurut pemain yang berasal dari Switzerland ini, beliau tidak merasa bersendirian dan mudah untuk menyesuaikan diri dalam skuad Selangor, biarpun baru pertama kali berlatih bersama mereka.
"Saya sangat gembira kerana dapat berlatih bersama pasukan baharu setelah beberapa bulan saya berlatih secara bersendirian. Mereka juga menyambut dan menerima kehadiran saya dengan baik sepanjang sesi latihan pada hari ini," jelas Oli sewaktu berkongsi perasaannya selepas hari pertama berlatih bersama pemain Selangor yang lain.
"Perkara terpenting untuk saya adalah membiasakan diri dengan cuaca terlebih dahulu kerana ianya berbeza daripada di Switzerland, selain melakukan semampunya untuk menyesuaikan diri dengan taktikal baharu sebelum Liga Super bermula," tambahnya.
Selangor FC berharap agar kesemua pemain dapat berlatih sehabis baik sebelum Liga M bermula dan buat yang terbaik untuk musim ini. Semoga berjaya, Red Giants.
Demi Kebanggaan!