SELANGOR FC
BERITA

Gergasi Merah Tekad Mahu Teruskan Momentum Kemenangan (Liga Super 2021)

Mar 09, 2021 - FAS

Selepas berjaya meraih tiga mata pertama dalam perlawanan home sulung Liga Super 2021, pasukan Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak untuk bertemu Terengganu FC (TFC) hari ini jam 9 malam.

Sewaktu pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan ini, ia merupakan memori yang memeritkan pasukan Selangor setelah pasukan Terengganu FC dihadiahkan sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan yang menyaksikan keputusan seri 3-3. Gol-gol Selangor telah dijaringkan oleh Khyril Muhymeen, Ifedayo Olusegun dan Brendan Gan.

Kemenangan pada hari Sabtu lalu pasti berjaya menaikkan semangat pasukan utama Selangor FC untuk teruskan momentum yang baik dan mempamerkan aksi yang cemerlang untuk perlawanan malam ini.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, TFC merupakan pasukan yang bagus dan mempunyai beberapa pemain yang merbahaya namun pemain Gergasi Merah berada di tahap motivasi yang terbaik untuk meneruskan momentum kemenangan.

"TFC merupakan pasukan yang bermain dengan banyak bertukar-tukar hantaran untuk mencipta peluang gol dan mereka juga mempunyai pemain individual yang sangat teknikal dan merbahaya seperti Makan Konate dan bekas pemain Selangor, Faiz Nasir. Saya suka gaya permainan mereka. Secara keseluruhannya, TFC mempunyai koleksi barisan pemain yang menarik," Karsten memberikan pandangannya mengenai pasukan TFC.

"Pemain Selangor FC telah menjalani sesi pemulihan terlebih dahulu selepas perlawanan Sabtu lalu, bagi saya ini merupakan proses yang sangat penting dalam persiapan singkat kami untuk aksi seterusnya menentang TFC. Mereka juga telah menjalani sesi video individual dan taktikal untuk perlawanan malam ini," terangnya berkenaan persiapan pasukan.

"Saya dan barisan jurulatih telah melihat dan menilai para pemain di setiap sesi latihan, sebelum, semasa dan selepas perlawanan menentang Sri Pahang FC minggu lalu. Saya yakin mereka mempunyai tahap motivasi yang tinggi dalam pasukan dan diri sendiri untuk mendapatkan 3 mata seterusnya," tegas pengendali dari Jerman ini.

Bagi keberadaan pemain untuk perlawanan kedua Liga Super ini, sebahagian pasukan Selangor FC masih lagi tidak dapat disenaraikan seperti Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), K. Sarkunan (kekejangan lutut), Brendan Gan (kecederaan buku lali) dan R. Dinesh (hamstring kiri) yang mengalami kecederaan sewaktu perlawanan menentang Sri Pahang FC, Sabtu lalu.

Kemenangan 3-1 keatas pasukan Sri Pahang minggu lalu itu juga menyaksikan Gergasi Merah kini berada di takhta Liga Super 2021 dengan 3 mata terkumpul, manakala Terengganu FC pula di tempat ke-3 dengan jumlah mata yang sama. Siaran langsung perlawanan malam ini juga bakal ditayangkan di TV1 RTM Sports.

Semoga tiga mata penuh berjaya dibawa pulang Selangor FC dari tempat lawan sekaligus mengekalkan momentum kemenangan sehingga tamat Liga Super 2021. Teruskan perjuangan Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!