The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor Mahu Beri Cabaran Kepada Juara Liga

Mar 17, 2021 - FAS

Malam ini pasukan Selangor FC akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor untuk perlawanan keempat saingan Liga Super 2021 menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim FC (JDT).

Ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel menyatakan pasukannya tidak akan menoleh ke belakang dan yakin Gergasi Merah mempunyai peluang jika kesemua pemain bermain secara berpasukan.

Apabila disoal mengenai kesebelasan terbaik yang akan disenaraikan pada malam ini, Karsten memberitahu bahawa dia sudah menjumpai senarai pilihan terbaik untuk menentang JDT.

"Sudah tentu saya telah mempunyai kesebelasan terbaik untuk menentang JDT, namun kesebelasan terbaik untuk setiap perlawanan adalah berbeza dan takkan sama. Ia akan berubah-ubah, bergantung kepada pasukan yang kita hadapi,” jelas Karsten.

"Pemain kesebelasan utama pilihan saya untuk malam ini adalah yang terbaik dan saya yakin kita mampu memberikan cabaran kepada pasukan JDT. Namun begitu, pemain yang berada di bangku simpanan juga sama penting, mereka perlu sentiasa bersedia sepanjang perlawanan itu untuk beraksi," tambahnya.

“Kita hanya mempunyai 90 minit malam ini untuk bermain lebih baik daripada minggu lalu. Para pemain Gergasi Merah akan berjuang sehabis baik dan bermain sebagai satu pasukan dalam menyerang serta bertahan sepanjang perlawanan. Saya yakin kita ada peluang tersebut,” tegas Karsten.

"Saya juga berharap tidak akan berlaku sebarang kecederaan kepada pemain-pemain saya dalam perlawanan malam ini," Karsten menyatakan harapannya.

Bagi keberadaan pemain, sebahagian pasukan Selangor FC masih lagi tidak dapat disenaraikan seperti Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), K. Sarkunan (kekejangan lutut), R. Dinesh (hamstring kiri) dan Halim Saari (kecederaan lutut).

Skuad Merah Kuning kini berada di kedudukan ke-5 dalam carta Liga Super 2021 dengan mengumpul 4 mata hasil dari satu kemenangan, satu seri, dan satu kekalahan, manakala pasukan JDT pula berada di takhta liga dengan 9 mata, hasil dari 3 kemenangan.

Semoga pasukan Selangor FC dapat memberikan yang terbaik dan berjuang untuk membawa pulang tiga mata penuh dari perlawanan malam ini, sekaligus meneruskan misi untuk kembali ke pentas Asia.

Demi Kebanggaan!