Mar 27, 2021 - FASSaiful Iskandar Adha bin Saiful Azlan (Saiful Iskandar) atau lebih mesra dengan panggilan Iskandar, merupakan antara pemain tonggak pasukan Selangor 2 musim ini yang semakin mendapat perhatian dari pemerhati bola sepak tempatan.
Karier bola sepak profesional beliau bermula pada akhir tahun 2016 apabila beliau menyertai sesi pemilihan untuk skuad Belia Selangor dan bakat yang dimilikinya berjaya dikesan oleh ketua jurulatih pasukan yang sedang membentuk pasukan untuk musim 2017.
Beliau melibatkan diri dalam dunia bolasepak secara serius semasa berusia pada 18 tahun bersama pasukan Belia Selangor dan berjaya menjaringkan 6 gol dan menghasilkan tiga bantuan gol dalam 12 penampilan di tahun pertamanya.
Pencapaian cemerlang tersebut telah membuka pintu untuk pemain sayap ini bersama pasukan Presiden Selangor di musim seterusnya. Biarpun menjadi antara pemain termuda dalam pasukan tersebut, beliau telah meledakkan 10 gol serta 6 bantuan gol dalam 24 penampilan pada tahun 2018 sehingga 2019.
Aksi cemerlang Iskandar telah mendapat perhatian daripada ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt dan beliau pinjamkan ke pasukan tersebut selama semusim bermain di peringkat tertinggi Liga Malaysia iaitu dalam saingan Liga Super musim lalu.
Untuk rekod, Iskandar telah beraksi di saingan Liga Super selama 83 minit dengan menyenaraikan dirinya dalam 7 daripada 10 perlawanan musim lalu dan pernah membarisi kesebelasan utama pasukan The Lions semasa menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh.
Dengan pengalaman bermain di liga tertinggi di Malaysia yang diperolehinya pada musim lalu, Iskandar kini kembali ke pangkuan Red Giants FC dan menjadi antara pemain tonggak Selangor FC 2 yang kini menduduki di tangga ke-3 Liga Premier 2021 dengan 9 mata terkumpul hasil daripada 3 kemenangan dan satu kekalahan.
Beliau yang memiliki ketangkasan dan kawalan bola yang baik telah membantu Selangor 2 dibawah kendalian ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner sebagai watak penting untuk jentera serangan pasukan dan berjaya menjaringkan gol sulungnya musim ini sewaktu perlawanan menentang Skuad Projek MSN-FAM.
Iskandar yang sentiasa mengutamakan keluarganya mahu terus beraksi dengan baik musim ini dan berharap agar ada peluang untuknya bermain di pentas Liga Super bersama pasukan utama Selangor FC.
"Inspirasi utama saya untuk terus beraksi dengan baik dalam kancah bola sepak adalah keluarga saya. Saya mahu berikan yang terbaik untuk diri dan mereka," jelas Iskandar.
"Saya berharap dapat membantu pasukan Selangor FC 2 mencapai sasaran untuk musim 2021 dan dengan persembahan baik yang ditonjolkan dapat memberikan peluang untuk lebih pemain muda untuk mewakili pasukan utama di musim hadapan," tegas Iskandar yang berkongsi mengenai harapannya.
Selangor FC mendoakan kejayaan Iskandar untuk musim 2021 bersama pasukan Selangor 2 dan semoga beliau terus mempamerkan aksi yang cemerlang demi mengharumkan nama Gergasi Merah. Selamat maju jaya, Iskandar!
Demi kebanggaan!