Mar 31, 2021 - FASEmpat pemain SFC yang dipanggil menyertai kem latihan pusat kebangsaan, Brendan Gan, Khairulazhan Khalid, Syahmi Safari dan Shahrel Fikri telah kembali ke kem Merah Kuning bersama rakan pasukan petang semalam selepas dua minggu berlatih di Johor Bahru.
Kepulangan mereka ke FAS Training Centre dilihat tepat pada masanya apabila barisan kejurulatihan Gergasi Merah sedang merangka strategi untuk mengembalikan SFC ke landasan kemenangan.
Kapten pasukan SFC, Brendan Gan yang sempat ditemubual sekembalinya beliau ke pangkuan pasukan melaungkan kata-kata positif dan yakin rakan-rakan sepasukannya akan terus memberikan yang terbaik untuk Selangor dan para penyokong.
"Keputusan perlawanan lalu apabila kita lihat semula, banyak alasan kami boleh diberikan, dan kita mungkin tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan yang akan mempengaruhi hala tuju musim ini, namun saya selalu mengambil aspek positif dari setiap pertandingan dan sesi latihan.”
“Kami masih mempunyai masa untuk memperbaiki pasukan dan banyak perkara yang boleh kami pelajari untuk kami menjadi pasukan yang lebih baik. Kami sedar, masa adalah suntuk jadi semua orang (dalam pasukan) sedang memberikan semampunya dan berkerja sekuatnya sebagai sebuah keluarga.”
Disoal mengenai perlawanan menentang UiTM FC pada hari Sabtu ini, Brendan memberikan komen berikut:
“Sama ada menentang UiTM FC atau kelab lain, kami tiada pilihan lain selain kemenangan. Apabila kami masuk ke padang, tak kiralah menentang pasukan manapun, kami tidak mahu seri atau kalah, kami hanya fikir untuk mencapai kemenangan. Mentaliti kami adalah untuk memburu kemenangan, tak kiralah apa kosnya.”
Pihak Pengurusan Selangor FC mengucapkan selamat kembali kepada Brendan Gan, Khairulazhan Khalid, Syahmi Safari dan Shahrel Fikri ke kem Merah Kuning dan berharap kesemua pemain akan terus memberikan yang terbaik untuk Gergasi Merah.
Pasukan Selangor FC akan meneruskan perjuangan dalam Liga Super 2021 untuk perlawanan ke-6 menentang UiTM FC sebagai pasukan lawan di Stadium UiTM, Shah Alam pada hari Sabtu ini.
Pasukan The Lions kini berada di dasar liga dengan 1 mata, manakala pasukan Gergasi Merah pula berada di kedudukan ke-7 liga setelah mengumpul 5 mata dari 5 perlawanan sebelum ini.
Selamat berjuang, Gergasi Merahku!
Demi Kebanggaan.