The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

SFC Waspada Sayap Lincah The Lions

Apr 03, 2021 - FAS

Selepas dua minggu Liga Malaysia berehat untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan, malam ini pasukan Selangor FC akan meneruskan saingan Liga Super 2021 untuk perlawanan ke-6 dengan menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Karsten Neitzel, ketua jurulatih Selangor FC berpuas hati dapat melakukan sesi latihan yang secukupnya dalam tempoh tersebut dalam memperkemaskan permainan anak-anak buahnya untuk baki saingan Liga M musim ini.

"Kami tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan yang lalu dan kami mahu memperbaiki corak perlawanan untuk aksi seterusnya dalam Liga Super 2021," jelas Karsten apabila disoal mengenai prestasi Gergasi Merah selepas 5 perlawanan.

"Sejak dua minggu yang lalu, kami telah mempunyai lebih banyak masa untuk berlatih sebaiknya. Dengan itu, saya ingin melihat persembahan yang lebih baik dari pemain-pemain saya," tambahnya.

Menyentuh tentang pasukan UiTM FC, beliau tidak menafikan kelab tersebut mempunyai kelebihan di bahagian serangan namun beliau tetap yakin dengan pemainnya untuk membawa pulang tiga mata malam ini.

"UiTM FC mempunyai pemain tengah dan sayap yang laju, jadi kita perlu berhati-hati terutamanya semasa mereka melakukan serangan balas tetapi kita juga perlu fokus kepada kemampuan sendiri," tegas Karsten.

"Kita perlu menyerang dengan pantas dan efektif dan kita perlu bermain dengan bijak terutamanya di ‘final third’ semasa melakukan serangan. Jika pemain-pemain saya bermain sedemikian, saya benar-benar yakin kita mempunyai peluang untuk mendapatkan tiga mata malam ini," katanya lagi.

Antara berita yang melegakan bagi kem Selangor, dua pemain yang tidak disenarai sebelum ini ekoran kecederaan, K. Sarkunan dan R. Dinesh telah disahkan cergas dan dijangka membarisi kesebelasan utama pasukan.

Sungguhpun demikian, empat pemain Gergasi Merah tidak dapat di senaraikan untuk perlawanan ini seperti Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), Halim Saari (ACL), Wan Zack Haikal (kecederaan lutut kanan) dan Sean Selvaraj (kecederaan otot).

Pasukan The Lions kini berada di dasar liga dengan 1 mata, manakala pasukan Gergasi Merah pula berada di kedudukan ke-7 liga setelah mengumpul 5 mata dari 5 perlawanan sebelum ini.

Selamat berjuang, Gergasi Merahku!

Demi Kebanggaan.