The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Karsten: Kami Mahu Meraikan Kepulangan Penyokong Dengan 3 Mata

Apr 06, 2021 - FAS

Malam ini bakal menyaksikan pasukan Selangor FC (SFC) menerima kunjungan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) di Stadium MBPJ, Kelana Jaya jam 9 malam untuk perlawanan ke-6 Liga Super 2021.

Perlawanan ini bakal menjadi aksi pertama penyokong Gergasi Merah turun ke stadium bagi memberi semangat kepada pasukan. Ketua jurulatih SFC, Karsten Neitzel sangat gembira dengan berita ini dan mahu berikan persembahan terbaik untuk penyokong.

"Semua peminat kancah bola sepak Malaysia pasti gembira kerana akhirnya dibenarkan memasuki stadium semula. Inilah maksud sebenar bola sepak, sorakan semangat dari peminat semasa perlawanan," ujar pengendali dari Jerman itu.

"Setelah sekian lama tanpa peminat di stadium, saya akan pastikan mereka pulang dengan permainan yang menarik dan tiga mata dalam tangan," tambahnya.

Karsten dan pasukan juga telah membuat persiapan rapi dalam mencapai hasrat untuk berikan terbaik kepada para peminat yang akan menyaksikan perlawanan malam ini secara langsung di stadium.

"Kami telah menjalankan sesi pemulihan sebaik sahaja tamat perlawanan menentang UiTM minggu lalu bagi menyediakan pemain yang cergas untuk beraksi malam ini."

"Kami (barisan kejurulatihan) telah menganalisis permainan pihak lawan dan membincangkan beberapa perkara dengan para pemain. Ada perkara baik kita boleh kekalkan daripada perlawanan sebelum ini dan ada juga perkara yang mesti kita perbaiki dengan cepat. Pasukan sedang cuba melakukannya sedaya kami," tegas Karsten.

Bagi keberadaan pemain pula, empat pemain Gergasi Merah tidak dapat di senaraikan untuk perlawanan ini seperti Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), Halim Saari (ACL), Wan Zack Haikal (kecederaan lutut kanan) dan R. Dinesh.

Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta Liga Super 2021 adalah di tangga ke-7 dengan 8 mata terkumpul hasil dari dua kemenangan, dua seri  dan dua kekalahan, manakala KDAFC pula di tempat ke-2 dengan 13 mata, 1 mata di belakang pendahulu liga.

Dengan kemasukan penyokong ke stadium malam ini, Selangor FC akan memastikan anda mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Malaysia Football League (MFL). SFC menyeru agar semua penyokong yang turun ke stadium pada malam ini mampu memberikan kerjasama yang diperlukan demi memastikan pencegahan wabak COVID-19 dapat dibendung.

Sehubungan dengan itu, rakan strategik SFC, Sugarbomb akan menyediakan pembersih tangan (hand sanitizer) sebanyak 2000 botol untuk para peminat Gergasi Merah yang hadir ke stadium pada malam ini sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19.??Selamat berjuang, Gergasi Merahku!

Demi Kebanggaan.