Apr 08, 2021 - FASKelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC (SFC) terus mendapat sokongan daripada syarikat korporat apabila Hertz Malaysia hari ini diumumkan sebagai Rakan Pengangkutan Persendirian Rasmi selepas termeterainya perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak, awal bulan lalu.
Kerjasama ini juga bakal memperlihatkan logo Hertz dipamerkan sebagai salah satu logo di laman web rasmi SFC, selain dalam beberapa konten digital di kesemua platform media sosial SFC.
Untuk makluman, francais Hertz di Malaysia dipegang secara eksklusif oleh Sime Darby Motors dan beroperasi di bawah seliaan Sime Darby Rent A Car Sdn Bhd (SDRAC).
SDRAC yang telah beroperasi sejak 1982, merupakan pelopor kepada perkhidmatan sewaan kenderaan di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan pajakan kenderaan jangka masa pendek dan panjang untuk sektor awam dan swasta. Kini, SDRAC mempunyai lebih 20 cawangan di bandar-bandar dan lapangan terbang selain 269 pusat servis dan francais di seluruh negara.
Menurut Harun Mohd Joned, Pengarah Urusan, Sime Darby Rent A Car Sdn Bhd, "SDRAC melalui Hertz Malaysia amat teruja bekerjasama dengan sebuah kelab yang bersejarah dan mempunyai pangkalan peminat yang besar di Malaysia. Kami berharap agar kerjasama ini memberikan impak positif terutamanya apabila pemain Gergasi Merah beraksi di padang nanti."
"Ini merupakan kali pertama kami berkolaborasi dengan SFC. Sebelum ini, pihak kami sentiasa menyediakan perkhidmatan pajakan kereta sewa kepada beberapa buah pasukan bola sepak di Malaysia. Kami berharap agar jenama Hertz akan lebih dekat dengan penyokong SFC juga.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut senada menzahirkan rasa gembira dan berpendapat kerjasama ini akan memberikan impak positif kepada kedua-dua entiti.
“SDRAC, pemegang francais antarabangsa Hertz di Malaysia bersetuju untuk berkerjasama dengan SFC pada musim ini. Kerjasama ini juga memberikan isyarat kepada syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang lain untuk turut berkerjasama dengan kelab-kelab bola sepak tempatan kerana industri bola sepak kita cukup dekat dengan rakyat Malaysia,” jelas Dr.Johan.
“Kejayaan SFC bagi musim ini adalah bukan sahaja untuk membawa rakan strategik yang baharu, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan dengan rakan strategik yang sedia ada dengan memberikan faedah penajaan dari segi komitmen sebagai rakan strategik, pengembangan jenama dalam kalangan penyokong Gergasi Merah, perkongsian pembangunan aset komersial. Hertz Malaysia merupakan rakan strategik baharu bagi Gergasi Merah dan kami mahu memberikan komitmen terbaik untuk mereka, supaya kerjasama ini berpanjangan.”
SFC sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Hertz Malaysia dan berharap perjanjian kerjasama ini dapat membuka mata lebih banyak syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan strategik Gergasi Merah.
Demi kebanggaan.