The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Selangor Tekad Buatkan Perak Berduka

Apr 10, 2021 - FAS

Malam ini Selangor FC akan menentang Perak FC untuk perlawanan ke-7 Liga Super 2021 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya jam 9 malam.

Untuk rekod, kali terkahir Gergasi Merah bertemu The Bos Gaurus adalah semasa Liga Super 2020 dengan keputusan seri 1-1 di mana Ifedayo Olusegun berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan tandukan pada minit ke-31 perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad Gergasi Merah bertekad untuk tidak berputih mata lagi setelah gagal memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri, lebih-lebih lagi keperitan tewas kepada pasukan Kedah pada pertengahan minggu lalu masih jelas terasa.

Menurut Karsten Neitzel, ketua jurulatih Selangor FC mengatakan bahawa barisan kejurulatihan beliau tahu akan kekuatan Perak FC dan telah melakukan persiapan rapi untuk menentang mereka malam ini.

"Kami telah menganalisis perlawanan lalu dan telah membuat persiapan rapi bagi menentang Perak FC malam ini dengan menyediakan maklumat dan persediaan corak permainan kepada para pemain,” katanya.

"Kami tahu kekuatan Perak, tetapi pasukan akan memberikan segalanya untuk bermain seperti yang mereka lakukan lebih baik daripada perlawanan sebelum ini dan 3 mata akan menjadi milik kita," ulas Karsten lagi.

Bagi keberadaan pemain pula, empat pemain Gergasi Merah tidak dapat di senaraikan untuk perlawanan ini seperti Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), Halim Saari (ACL), Wan Zack Haikal (kecederaan lutut kanan), Tim Heubach dan Sean Selvaraj.

Sungguhpun demikian, barisan pemain muda yang diserapkan sejak awal musim ini oleh pasukan Gergasi Merah seperti Sharul Nazeem, Aliff Haiqal Lau, Mukhairi Ajmal, Ahmad Zikri, Danial Asri dan Jordan Ayimbila dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan setelah mempamerkan permainan yang meyakinkan dalam beberapa perlawanan yang lalu.

Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta Liga Super 2021 adalah di tangga ke-7 dengan 8 mata terkumpul hasil dari dua kemenangan, dua seri  dan dua kekalahan, manakala Perak FC pula di tempat ke-8 dengan jumlah mata yang sama.

Semoga pasukan Selangor FC dapat mempamerkan keputusan positif dan mendapatkan 3 mata penting dalam perlawanan persaingan kejuaraan Liga Super 2021 malam ini.

Ayuh Gergasi Merahku!

Demi Kebanggaan.