The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

KENALI PEMAIN: Sharul Nazeem Zulpakar

Apr 29, 2021 - FAS

Sharul Nazeem bin Zulpakar atau lebih popular dengan panggilan Afro merupakan pemain muda Selangor FC yang semakin meningkat naik namanya setelah berjaya mempamerkan persembahan yang baik dalam beberapa perlawanan Liga Super baru-baru ini.

Sewaktu di zaman persekolahan, Sharul telah mewakili sekolah dalam beberapa sukan seperti bola sepak, takraw dan bola tampar namun beliau kemudian memilih untuk fokus hanya dalam sukan ping pong.

Dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5, beliau telah mewakili sekolahnya dalam sukan ping pong dan pencapaian tertingginya adalah Naib Johan 2015 di peringkat Negeri dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS).

Namun, kerana minatnya terhadap sukan bola sepak yang mendalam, sebaik sahaja tamat persekolahan, Sharul menyertai pemilihan bersama Prefer FC dimana beliau telah disenaraikan dalam pasukan untuk bermain dalam Liga Bolasepak Rakyat.

Pada tahun 2017, beliau telah menyertai pasukan Marcerra United FC yang bermain di Liga Kuala Lumpur dan tahun kemudiannya mewakili NPNG FC beraksi di liga peringkat negeri seperti Liga Selangor anjuran FA Selangor. Bersama NPNG FC, Sharul telah merangkul dua kejuaraan iaitu Liga Selangor dan juga Piala FA Selangor.

Dengan bakat yang dimiliki pemain pertahanan tengah ini, beliau diserap masuk skuad Presiden Selangor selepas persembahan yang baik ditunjukkan semasa bermain dalam saingan Liga Selangor.

Menjadi antara pemain tonggak pasukan Piala Presiden Selangor pada musim 2019, beliau kemudiannya diserap masuk ke pasukan Selangor 2 pada tahun 2020 setelah berjaya menyakinkan Michael Feichtenbeiner untuk beraksi dalam Liga Premier musim tersebut.

Untuk rekod, Sharul merupakan pemain kesebelasan utama untuk semua perlawanan Liga Premier musim lalu untuk skuad Selangor 2 dengan 810 minit permainan sebagai kapten pasukan.

Kematangan corak permainan Sharul telah melayakkan dirinya dinaikkan pangkat menjadi salah seorang pemain muda dalam 25 pemain Selangor FC secara rasmi pada November 2020.

Menyarung jersi nombor 44, beliau telahmembuat penampilan pertamanya bersama Gergasi Merah semasa menentang Kedah Darul Aman FC dan kini telah bermain 90 minit dalam empat perlawanan dengan persembahan yang memberangsangkan.

Beliau sangat gembira akhirnya dapat beraksi bersama pasukan utama Selangor FC dan tidak mahu terlampau senang dengan pujian.

"Saya bersyukur diberi peluang untuk beraksi dan sekarang sudah empat perlawanan saya bermain. Apa yang saya boleh katakan, masih banyak yang saya perlu perbaiki tetapi untuk sekarang saya akan gunakan kelebihan-kelebihan yang ada untuk beraksi dengan baik bersama pasukan," kata pemain berusia 22 tahun ini.

"Pujian yang diberikan oleh para penyokong membakar semangat saya untuk beraksi dengan baik bersama pasukan namun saya tak mahu terlampau senang dengan pujian tersebut malah terus memberikan yang terbaik sehingga habis liga," tambah peminat pemain pertahanan tengah Arsenal, David Luiz.

Sharul yang mengidolakan Shahrul Saad sebagai pemain pertahanan tempatan pilihannya mempunyai hasrat untuk beraksi bersama pasukan Harimau Malaya jika diberi peluang dan beliau juga bercita-cita untuk melebarkan sayapnya untuk bermain di luar negara suatu hari nanti.

Selangor FC mendoakan kejayaan Sharul untuk musim 2021 bersama pasukan utama Selangor dan semoga beliau terus mempamerkan aksi yang cemerlang dalam kancah bolasepak Malaysia. Semoga berjaya, Afro!

Demi Kebanggaan!