May 05, 2021 - FASSelangor bakal memulakan pusingan ke-2 Liga Super 2021 malam ini dengan menentang pasukan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang jam 10 malam.
Untuk rekod, pasukan Gergasi Merah berjaya meraih kemenangan pertama musim ini semasa menentang Tok Gajah dalam pusingan pertama bulan Mac yang lalu dengan kemenangan 3-1, dua jaringan Oliver Buff dan satu daripada Shahrel Fikri.
Pasukan Selangor telah tiba di negeri Pahang semalam dan sempat melakukan sesi latihan di Padang MPK bagi membuat persiapan terakhir sebelum menentang pasukan Tok Gajah malam ini. Saksikan video latihan tersebut di sini.
Perlawanan ini adalah merupakan perlawanan penting pasukan Selangor FC bagi merapatkan jurang mata dan mengukuhkan kedudukan di tangga ke-5 liga setelah berjaya membawa pulang 3 mata perlawanan minggu lalu. Tonton sorotan perlawanan #PJCSEL di sini.
Apabila ditanyakan tentang pemain import baharu pasukan Sri Pahang FC, ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel menyatakan sesiapa sahaja yang diturunkan, anak-anak buahnya sudah bersedia.
“Sudah pasti perlawanan pada malam ini akan berubah dengan adanya jentera import baharu mereka. Saya tidak pasti mereka akan diturunkan atau tidak, tetapi dari perlawanan pertama liga sehingga aksi baru-baru ini, saya melihat banyak peningkatan pasukan Sri Pahang FC,” katanya.
“Untuk itu, saya yakin kita sudah bersedia dengan apa jua perancangan pihak lawan untuk perlawanan malam ini. Kita harus menunjukkan prestasi terbaik dan memberikan segalanya walau siapapun yang disenaraikan dalam kesebelasan utama dan pemain simpanan mereka,” tegas Karsten.
Karsten juga menyatakan beliau gembira dengan sikap pemain-pemain simpanannya kerana sering mempamerkan persembahan yang baik serta membantu dalam mengekalkan momentum perlawanan setiap kali beliau melakukan pertukaran.
“Bagi saya adalah sangat penting untuk berkomunikasi dengan pemain-pemain dibangku simpanan. Kadangkala saya harus menerangkan mengapa mereka tidak bermain dan saya menerima respons yang baik dari mereka.”
“Sekiranya mereka mempunyai soalan, mereka akan bertanya dan saya berusaha untuk bersikap jujur kepada mereka. Hasilnya, aksi yang cemerlang telah dipamerkan setiap kali mereka dimasukan. Semoga kita dapat meneruskan persefahaman dan sikap positif ini selamanya,” jelas Karsten.
Bagi keberadaan pemain, Gergasi Merah tidak dapat menurunkan Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), Halim Saari (ACL), Wan Zack Haikal (kecederaan lutut kanan) dan Tim Heubach atas faktor kecederaan.
Selain itu, Safuwan Baharudin yang terpaksa dikeluarkan semasa separuh sama pertama menentang PJ City FC kerana mengalami gegaran di kepala sudahpun menjalani sesi pemulihan dan berkemungkinan akan diturunkan pada malam ini.
Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta Liga Super 2021 adalah di tangga ke-5 dengan 18 mata terkumpul hasil dari lima kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan, manakala Sri Pahang FC pula di tempat ke-11.
Semoga tiga mata penuh berjaya dibawa pulang Selangor FC malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan.