May 19, 2021 - FASEsok, tiga pemain Selangor FC, Brendan Gan, Khairulazhan Khalid dan Syahmi Safari bakal menyertai barisan skuad Harimau Malaya yang akan berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan berpangkalan di sana bagi menghadapi baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Skuad kebangsaan dijadualkan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand bermula 3 Jun ini selepas berjaya menduduki tempat ke-2 kumpulan G dengan 9 mata terkumpul.
Tidak seperti pusingan pertama yang lalu, kesemua perlawanan ini berlangsung di UAE dan diadakan dalam gelembung sukan, demi mencegah penularan COVID-19.
Dalam perkembangan lain, baru-baru ini pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengesahkan bahawa Korea Utara menarik diri daripada meneruskan baki perlawanan kejohanan. Justeru, semua keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan (Indonesia) tidak akan dikira.
Keputusan ini akan memberi impak besar bagi kedudukan Harimau Malaya serta menjejaskan peluang untuk layak ke pusingan ketiga kejohanan kerana sebelum ini, Malaysia telah merekodkan dua kemenangan ke atas pasukan Indonesia.
Walaubagaimanapun, Brendan Gan, kapten Selangor FC yang juga antara pemain tunjang pasukan Malaysia yakin rakan pasukannya akan berusaha untuk mendapatkan kemenangan dalam ketiga-tiga baki perlawanan.
"Situasi seperti ini menandakan pasukan perlu fokus untuk diri sendiri serta memastikan untuk berikan sehabis baik untuk memenangi memenangi baki perlawanan yang ada supaya kita tidak perlu bimbang tentang keputusan mengenai penarikan diri Korea Utara," jelas Brendan.
"Biarpun keadaan ini agak sukar namun saya yakin dan percaya rakan seperjuangan akan menumpukan perhatian pada setiap perlawanan dan memberikan persembahan terbaik untuk memperoleh mata maksimum."
Perkembangan terkini tersebut bagaimanapun telah membuatkan skuad Harimau Malaya semakin optimis untuk mencipta lembaran baru demi memastikan Malaysia layak ke Piala Asia dan pusingan kelayakan Piala Dunia secara merit.
"Kesemua pemain berada dalam motivasi yang tinggi untuk memberikan yang terbaik kepada negara. Kita harus memanfaatkan peluang yang ada sepenuhnya dan berikan segalanya untuk melakar sejarah baru untuk Malaysia," tambahnya.
Skuad kebangsaan masih berpeluang mendapat slot automatik ke Piala Asia 2023 dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 jika mendapat kedudukan tempat kedua terbaik di peringkat kumpulan.
Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan kebangsaan dalam menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023. Ayuh Malaysiaku!
Demi Kebanggaan.