SELANGOR FC
BERITA

Selangor Rancang Penambahbaikan Pasukan & Fasiliti Sepanjang Tempoh Rehat Liga

May 21, 2021 - FAS

Liga Malaysia 2021 kini sedang berehat sehingga 9 Julai ini bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan untuk beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 & Piala Asia 2023 di Dubai, UAE. Ia juga dilakukan untuk memberi laluan untuk pasukan-pasukan Liga Super untuk memulakan perjalanan kejohanan Liga Juara-Juara AFC & Piala AFC bakal bermula 29 Jun ini.

Sepanjang tempoh ini, Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel sempat berkongsi yang barisan kejurulatihan Selangor FC telahpun menyediakan program-program kecergasan bagi memastikan setiap pemain berada dalam keadaan cergas sebelum latihan secara fizikal dimulakan semula apabila saingan liga diteruskan.

“Para pemain telah diberikan pelepasan selama 17 hari sebelum latihan secara fizikal dimulakan semula. Setiap pemain telah diberikan pelan latihan individu untuk terus kekal dengan tahap kecergasan yang baik sepanjang bercuti,” jelas Karsten.

“Proses pemulihan juga penting dan merupakan sebahagian daripada latihan yang disediakan. Dengan rancangan latihan individu yang direka khusus untuk setiap pemain, kami ingin mencapai gabungan pemulihan dan kecergasan kualiti fizikal yang baik terbaik bagi mereka.”

Antara program kecergasan yang disenaraikan adalah Steady State Run, Interval Run, Speed Endurance, Basic Strength Training, Injury Prevention Training serta cadangan menu dan corak pemakanan sepanjang latihan secara individual mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya lagi, pemain-pemain yang mengalami kecederaan seperti Nik Sharif, Halim Saari, Wan Zack Haikal, Tim Heubach dan Shahrel Fikri akan terus dirawat di pusat latihan FAS Training Centre bagi mendapatkan proses penelitian dan perkembangan yang lebih baik.

“Tidak lupa juga pemain-pemain yang mengalami kecederaan. Mereka akan terus dirawat dan dipantau oleh fisioterapi pasukan selain menjalani latihan secara fizikal bagi mendapatkan perkembangan pemulihan yang optimum, mengikut jadual pemulihan yang telah ditetapkan,” tambah Karsten lagi.

Dalam perkembangan lain, pihak penganjur liga, Malaysia Football League (MFL) mengumumkan pasukan-pasukan Liga Malaysia tidak lagi dibenarkan menjalani sesi latihan secara Home Based Training sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan dikehendaki mematuhi Camp Based Training sahaja selepas MFL mengadakan perbincangan bersama KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan KKM.

Perkembangan lanjut mengenai Camp Based Training Selangor FC akan dikemas kini dan dimaklumkan dari semasa ke semasa kelak.

Selangor FC menghargai kesungguhan yang ditunjukkan barisan jurulatih dalam melaksanakan penyediaan latihan individu kepada pemain sepanjang cuti yang diberikan. Semoga Gergasi Merah akan terus semangat menghadapi baki saingan musim 2021.

Selain itu, beberapa aktiviti lain seperti proses baik pulih padang di Stadium MBPJ, penambah baikan infrastuktur pusat latihan FAS Training Centre selain proses persiapan dan pembinaan kemudahan baharu juga sedang giat berjalan sepanjang tempoh ini. Lebih banyak perkembangan akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

Demi Kebanggaan!