May 22, 2021 - FASBaru-baru ini, setelah penguatkuasaan PKPD di daerah Petaling diumumkan tamat, Selangor FC akan kembali beraksi menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebagai laman tuan rumah.
Keputusan ini dilihat wajar memandangkan usaha-usaha naik taraf padang yang telah giat dijalankan sepanjang tempoh liga berehat telah memastikan keadaan padang Stadium MBPJ dalam keadaan yang lebih baik dari sebelum ini. Diharapkan hasil kerja-kerja naik taraf ini akan menjanjikan persembahan pasukan yang lebih baik.
Usaha ini merupakan kerjasama rapat di antara kelab dengan pemilik fasiliti berkenaan, iaitu pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Jalinan kerjasama yang dilihat produktif ini telah berjaya meningkatkan mutu dan kualiti padang tersebut melalui pembaikan sistem saliran air di padang.
Proses penambaikan telah berlangsung sejak dari hujung bulan Mei yang lalu dan dibahagikan kepada beberapa peringkat. Bermula dengan pemasangan paip untuk sistem saliran pada setiap bahagian padang, ianya diikuti dengan timbusan batu di bahagian bawah rumput dan tanah mengikut saiz dan sukatan yang bersesuaian bagi membantu pengaliran yang lebih baik. Teknik ini sering kali digunakan di padang-padang Golf dan didapati bersesuaian untuk diterapkan ke padang bola sepak.
Peringkat akhir pembaikan ini termasuk kerja-kerja 'topdressing', meratakan permukaan padang, penjagaan rumput dan baja untuk memastikan permukaan padang sentiasa berada dalam tahap terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr. Johan Kamal Hamidon sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MBPJ dan berharap agar usaha yang baik ini dapat bersama meningkatkan mutu liga bola sepak Malaysia dan imej Stadium MBPJ sebagai padang perlawanan yang berkualiti bagi sukan bola sepak.
“SFC ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Aznan Hj Hassan, Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Petaling jaya kerana telah sudi bekerjasama demi menaiktaraf padang di stadium ini. Kami percaya usaha ini akan dapat membantu meningkatkan mutu persembahan pasukan, sekaligus mutu liga kita,” jelas Dr. Johan.
YB Aznan juga menzahirkan nada yang sama dengan Dr. Johan, "Misi kami sebagai pihak Majlis Bandaraya adalah sentiasa memastikan fasiliti dan kemudahan di bawah tanggungjawab kami berada dalam keadaan terbaik untuk kegunaan masyarakat setempat. Jadi, apabila Selangor FC bercadang untuk bekerjasama dengan pihak MBPJ bagi menaiktaraf semula keadaan padang, kami lihat ini sebagai suatu kerjasama yang positif dan menguntungkan bagi kedua-dua pihak.”
Sejak Stadium MBPJ dinamakan sebagai venue tuan rumah Selangor FC bagi musim 2021, SFC telah menjalankan beberapa pengubahsuaian dan menaik taraf beberapa fasiliti sekitar stadium seperti bilik persalinan pemain dan kiosk untuk jualan makanan dan minuman SFC, yang dikenali sebagai FAS Food.
Oleh demikian, Selangor FC yang sebelum ini mengumumkan akan beraksi di Stadium Cheras ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa di seluruh negeri Selangor, telah disahkan menerima kelulusan dari pihak Malaysian Football League (MFL) untuk kembali menyambung baki perlawanan Liga Super 2021 di Stadium MBPJ.
Untuk perkembangan selanjutnya, teruskan mengikuti saluran media Selangor FC.
Demi Kebanggaan.