SELANGOR FC
BERITA

Coach Michael: DNA Selangor, Bukan 'DNA German'

May 27, 2021 - FAS

Sedang Liga Malaysia berehat untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan untuk beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 & Piala Asia 2023 di Dubai, UAE, barisan kejurulatihan Selangor FC kini sedang meneliti prestasi semasa pasukan dan melakukan beberapa siri pertemuan untuk memperkasakan struktur DNA bola sepak Selangor FC yang telah dirancang sebelum ini.

Michael Feichtenbeiner, Pengarah Sukan SFC meluahkan rasa gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua ketua-ketua jurulatih dari semua peringkat Gergasi Merah dalam melaksanakan struktur DNA yang ingin dilaksanakannya.

"Secara amnya hubungan dan kerjasama antara pasukan utama Selangor FC, Selangor 2, skuad presiden dan skuad belia amat menakjubkan. Saya gembira dengan komitmen, kesediaan, motivasi semua jurulatih dan kakitangan pasukan untuk bekerjasama dalam memberikan yang terbaik kepada kelab," ujar Michael.

"Sewaktu liga tidak berlangsung ini, kami sedang giat melakukan perbincangan dalam mendapatkan hasil yang terbaik untuk pasukan masing-masing mengikut acuan DNA yang telah ditetapkan."

"Ini juga inisiatif kelab untuk meningkatkan mutu permainan setiap lapisan pasukan dan demi mengembangkan bakat pemain tempatan hingga ke tahap terbaik. Ini jelas dengan matlamat utama kami untuk menghasilkan lebih banyak pemain muda yang bersedia untuk beraksi bersama pasukan utama," jelasnya.

Semasa temubual, Michael juga menyuarakan bahawa DNA yang diterapkan di Selangor FC adalah disusun khas untuk pasukan Gergasi Merah dan ia bukanlah "DNA Jerman" yang war-warkan oleh pihak media selama ini.

"Bercakap tentang DNA, terdapat sebilangan wartawan menggunakan perkataan ‘DNA Jerman’ kepada DNA yang saya ingin diterapkan di Selangor FC. Ini adalah tidak tepat kerana struktur DNA bola sepak Selangor adalah mengikut kehendak kelab ini dan ia sama sekali tidak sama seperti 'DNA Jerman'," tegas Michael.

"Untuk mengikut sepenuhnya 'DNA Jerman' atau DNA mana-mana pasukan Eropah secara keseluruhan adalah bukan cara terbaik kerana setiap pasukan mempunyai perbezaan daripada segi kelebihan dan kelemahan tersendiri, namun kita boleh mempelajari pelbagai perkara baharu dari pendekatan mereka," jelasnya mengenai DNA bola sepak Selangor.

DNA bola sepak Selangor juga telah lama dirancang dengan rapi dan bukan sesuatu yang diambil bulat-bulat dari mana-mana pasukan yang telah ada. Ia bukan sahaja meliputi cara permainan dan corak latihan, ia turut melibatkan mentaliti serta program pembangunan bola sepak yang lebih menyeluruh dari peringkat akar umbi.

"Sebelum merangka struktur DNA bola sepak Selangor FC, telah banyak perbincangan yang dilakukan untuk melihat bagaimana kita mahu bermain dan cara untuk mendapatkan corak permainan tersebut, dan kita sedar, pembentukan ini akan mengambil masa," terang Michael.

"Matlamat besar semestinya fokus pada pasukan utama Gergasi Merah untuk mendapatkan kemenangan. Bagaimana kita mahu melakukannya? Jawapannya, dengan bahagian DNA Selangor FC yang sedang giat diterapkan satu persatu," jelasnya.

"Selangor FC mahu menghasilkan pemain tempatan dan akademi sendiri untuk menyediakan pemain-pemain muda yang bersedia beraksi dalam pasukan utama. Oleh itu, untuk mencapai objektif ini, ia perlulah dilakukan secara terperinci dalam setiap aspek seperti sains sukan dan lain-lain," tambahnya.

"Proses penambahbaikan tidak akan pernah berhenti kerana terdapat banyak aspek-aspek bola sepak moden yang sentiasa ada pembaharuan dan penemuan baharu. Kita harus berfikiran terbuka dan melihat bagaimana bola sepak moden berfungsi untuk terus menjayakan DNA Selangor FC ini," katanya sebelum menamatkan temubual.

Selangor FC berharap para jurulatih serta para pemain akan terus komited dalam menjayakan visi ini yang diharap menjadi jiwa pasukan ini untuk jangka masa yang lama. Perlahan-lahan, kita sedang memperkemaskan pasukan Gergasi Merah untuk kembali beraksi di pentas Asia.

Perkembangan lanjut mengenai pasukan Selangor FC akan dikemaskini dan dimaklumkan dari semasa ke semasa kelak.

Demi Kebanggaan.