May 29, 2021 - FASMuhammad Fazrul Fahriz Zeky atau lebih mesra dikenali sebagai Fazrul dalam merupakan salah seorang daripada tiga pemain pasukan Selangor FC 2 yang memiliki kaki kiri yang dominan.
Fazrul yang bakal mencecah umur 23 tahun pada bulan September tahun ini merupakan antara pemain pembangunan Gergasi Merah yang mula bermain bersama pasukan Belia, kemudian pasukan Presiden dan kini bermain di Liga Premier bersama Selangor FC 2.
Beliau mula bermain bola sepak secara serius pada tahun 2009 bersama Akademi Soccer kids MBSA sehingga 2011 untuk Piala Sultan Ahmad Shah dibawah jagaan Allahyarham Anuar Abu Bakar yang merupakan antara pemain legenda Gergasi Merah suatu ketika dahulu.
Pada tahun 2012, beliau telah menjaringkan 14 gol bersama pasukan akademi PKNS dan muncul sebagai penjaring kedua terbanyak dalam kejohanan 1 Malaysia Cardiff City anjuran FAM.
Pencapaian Fazrul ketika itu telah melayakkan beliau untuk mewakili daerah Petaling Perdana dalam Kejohanan Bola Sepak MSS Selangor 2013 dan telah menjaringkan 3 gol bersama pasukan tersebut.
Pemain sayap kiri ini kemudiannya menghadiri pemilihan pasukan Belia Selangor dan berjaya memikat hati ketua jurulatih ketika itu untuk mewakili pasukan Belia Selangor B yang bermain dalam Liga Selangor sepanjang 2014.
Tahun seterusnya, beliau telah disenaraikan untuk pasukan Belia Selangor dalam Piala Belia anjuran FAM dan merupakan antara pemain tunjang pasukan yang membawa pasukan menjulang piala kejuaraan kejohanan bagi tahun 2015.
Selepas, dua tahun bersama pasukan Belia Selangor, beliau kemudiannya bermain untuk pasukan Presiden Selangor selama tiga tahun dan telah melakukan 8 jaringan gol serta membantu pasukannya untuk menjuarai kejohanan Piala Presiden pada tahun 2017.
Fazrul pernah mewakili Malaysia untuk Kejohanan Bola Sepak Universiti Asia 2019 di Taipei, Taiwan bersama pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Karier bola sepaknya telah terus mekar apabila terpilih untuk menyertai pasukan Selangor FC 2 selepas menunjukkan kemampuannya semasa perlawanan tiga penjuru yang dijalankan pada hujung tahun 2019.
Pada tahun pertama beliau bersama Selangor 2, beliau telah bermain sebanyak 8 perlawanan (394 minit) dan meledak satu gol sewaktu menentang Kuching City FC serta turut memiliki satu bantuan jaringan (assist) di kancah Liga Premier 2020.
Pemain yang menyarung jersi nombor 9 ini juga telah menjaringkan gol pertamanya musim 2021 semasa menentang Kelantan FC di Kota Bharu dan meletakkan sasaran untuk menjaringkan sekurang-kurangnya 5 gol sepanjang musim ini.
Bercakap mengenai perjalanan karier bola sepaknya, beliau merasakan bahawa ia bukanlah sesuatu yang mudah dan berharap untuk tidak berhenti di pertengahan jalan.
"Ia bukanlah jalan mudah untuk sampai ke tahap ini. Saya tidak akan cepat mengalah dalam impian untuk bersaing di tahap yang lebih tinggi seperti Liga Super dan bermain dalam skuad kebangsaan," jelas Fazrul.
"Saya yakin bahawa bermain di Liga Premier merupakan jalan yang tepat untuk mematangkan corak permainan dan menunjukkan kemampuan serta kelebihan yang saya miliki terutamanya di sebagai seorang pemain sayap."
"Peluang untuk bermain bersama pasukan utama Selangor bukanlah mudah dan ini merupakan impian semua pemain muda di sini. Jika diberikan ruang tersebut, saya tidak akan mensia-siakannya," Fazrul menyatakan impiannya sejak kecil lagi.
Selangor FC mendoakan kejayaan Fazrul untuk musim 2021 bersama pasukan Selangor FC 2. Semoga beliau terus mempamerkan aksi yang cemerlang dalam kancah bola sepak Malaysia. Semoga berjaya, Fazrul!
Demi kebanggaan!