The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Red Giants Care Promosi Program Hijrah Selangor Untuk Bantu Perniagaan Penyokong Selangor

Jun 03, 2021 - FAS

Pandemik COVID-19 telah memberikan impak yang mendalam bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, malah kepada penduduk di seluruh dunia. Kehadiran musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini telah mengubah gaya hidup kita dalam sekelip mata.

Antara kesan yang paling dirasai oleh kita sendiri dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan kita dan mengawal urusan seharian kita seperti arahan penutupan operasi sesebuah perniagaan dan waktu jualan yang terhad.

Justeru, antara industri yang paling terkesan ekoran perkara ini adalah sektor perniagaan industri kecil dan sederhana seperti restoran, gerai-gerai kecil dan penjaja, selain perusahaan kecil seperti perniagaan yang berasaskan perkhidmatan.

Red Giants Care merasa terpanggil untuk memberikan jalan penyelesaian buat penyokong-penyokong Selangor yang terjejas ekoran penularan COVID-19 ini dengan mempromosikan usaha yang dilakukan oleh Hijrah Selangor, sebuah organisasi yang menawarkan program mikro kredit (pinjaman kecil) bersepadu dalam memberi bantuan modal tambahan yang mudah, cepat dan tidak membebankan mengkhususkan kepada penjaja dan peniaga kecil seluruh Selangor.

Selain itu, Hijrah Selangor turut memberikan khidmat nasihat ke arah melahirkan usahawan berdaya maju dan proaktif, selain meneroka peluang-peluang perniagaan susulan bagi kepentingan dan manfaat usahawan Hijrah Selangor.

Antara inisiatif terbaharu yang dilancarkan oleh Hijrah Selangor untuk membantu usahawan sewaktu pandemik ini adalah program Go Digital dan NaDI (Skim Niaga Darul Ehsan).

Program Go Digital adalah pembiayaan yang meliputi pakej peralatan, sistem, latihan dan pemantauan, selain pemberian modal pusingan sehingga RM5,000 dalam setiap pembiayaan.

Skim ini diwujudkan melalui Agenda Digitalisasi Selangor, iaitu inisiatif khas e-Pembekalan Peruncit Mikro dan Selangor e-Kitchen untuk memperkasa ekosistem ekonomi digital dalam kalangan usahawan mikro.

Penggunaan infrastruktur digital ini bertujuan membantu pemasaran dalam talian, meningkatkan jualan dan keuntungan selain meningkatkan keuntungan produktiviti usahawan mikro.

Selain itu, inisiatif NaDi (Skim Niaga Darul Ehsan) juga dilancarkan untuk membuka peluang kepada rakyat Selangor yang terkesan akibat COVID-19. Program ini menggalakkan usahawan yang tidak mempunyai Sijil Syarikat Malaysia (SSM) untuk memulakan perniagaan dengan menawarkan pinjaman kewangan sehingga RM5,000 dan tempoh bayaran balik sehingga 3 tahun.

Objektif skim ini adalah untuk membuka peluang untuk rakyat yang terkesan dengan pandemik ini, khususnya untuk membantu mereka mengembangkan pendapatan isi rumah melalui landasan perniagaan.

Untuk sebarang permohonan program mikro kredit atau untuk maklumat lanjut mengenai program-program bantuan perniagaan yang lain, penyokong Selangor boleh terus ke laman web rasmi mereka, www.hijrahselangor.com atau mengikuti Hijrah Selangor di saluran media sosial mereka.

Red Giants Care berharap agar penyokong-penyokong Selangor yang memerlukan bantuan untuk memperkasakan perniagaan dapat menghubungi Hijrah Selangor kerana suntikan dana yang disalurkan bukan sahaja dapat mengembangkan perniagaan, malah ia dilaksanakan dengan telus dan tidak membebankan.

Kita adalah satu.


Tentang Red Giants Care

Red Giants Care, sebuah inisiatif khas dari Selangor FC yang menumpukan perancangan dan pelaksanaan program-program kebajikan dan komuniti (Corporate Social Responsibility, CSR) di Selangor.

Inisiatif ini amat penting bagi mewujudkan sebuah organisasi yang bukan sahaja cakna dalam pembangunan bola sepak negeri, malah turut menitikberatkan tanggungjawab sosial kepada rakyat Selangor, khususnya golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan.