Jun 05, 2021 - FASDalam era bola sepak moden, pelbagai cara dilakukan oleh kelab bola sepak demi memastikan bahawa pemain-pemain mereka sentiasa dalam keadaan yang terbaik. Salah satu daripada usaha tersebut adalah dengan memastikan diet yang seimbang diamalkan oleh para pemain dan pemantauan yang berterusan.
Sejak penswastaan Selangor FC, pelbagai pendekatan yang lebih saintifik turut diambil oleh pihak pengurusan, terutamanya dalam melakukan usaha-usaha luar padang demi memastikan pemain-pemain Gergasi Merah sentiasa dibekalkan diet yang bakal memberikan persembahan yang optimum ketika beraksi.
Dalam usaha ini, Jabatan Sains Sukan SFC telah menubuhkan unit Pemakanan Sukan sejak Disember 2020 khusus untuk merancang pengambilan makanan para pemain, selain memantau dan menilai keberkesanan sesebuah pelan diet tersebut.
Unit ini bukan sahaja dikhususkan untuk pasukan utama Selangor, malah skuad Selangor 2, belia dan presiden juga turut didedahkan dengan program pemakanan yang sama.
Sebelum wujudnya unit Pemakanan Sukan ini, Selangor FC telah berkolaborasi bersama jabatan Sains Sukan UiTM Shah Alam bagi mendapatkan khidmat dan kepakaran mereka dalam merancang pelan pemakanan untuk para pemain.
Antara tugas utama unit ini adalah untuk memberi menu pemakanan pemain secara individu, menyediakan pemakanan sebelum dan selepas perlawanan dan sesi latihan, melaksanakan ujian air kencing bagi menilai tahap hidrasi setiap pemain, selain membantu pemain dalam merancang diet yang terbaik untuk mereka.
Manakala, bagi pemain yang mengalami kecederaan pula, unit Pemakanan Sukan akan memberi perhatian untuk memastikan pemain mendapatkan nutrisi yang tepat untuk membantu proses pemulihan di samping dapat mengekalkan berat badan di tahap optimum.
Selain itu, unit ini juga ditugaskan untuk menentukan menu makanan harian pemain semasa menjalani latihan secara camp-based yang diarahkan oleh pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara) dan MFL (Malaysia Football League) yang telah bermula awal minggu ini.
Untuk memperkasakan lagi usaha yang sedang dilakukan ini, Selangor FC bakal menyiapkan sebuah dapur dan ruang makan khas yang dibina khusus untuk unit Pemakanan Sukan untuk menyediakan makanan sebelum dan selepas latihan untuk para pemain.
Fasiliti baharu ini yang kini dalam proses pembinaan, merupakan sebahagian daripada bangunan tambahan baharu di sebelah padang utama FAS Training Centre, yang turut menempatkan bilik mesyuarat dan pejabat kejurulatihan dan dijangka siap bulan dalam masa beberapa bulan lagi.
Selangor FC berharap unit Pemakanan Sukan ini akan terus memberi komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas mereka dan dapat memberikan impak yang terbaik kepada skuad Gergasi Merah.
Demi Kebanggaan!