The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Shahrel Dalam Keadaan Terbaik Jalani Pemulihan

Jun 17, 2021 - FAS

Setelah lebih sebulan mengalami kecederaan retak tulang kanan fibula, minggu ini merupakan minggu terakhir Shahrel Fikri akan memakai kasut ortopedik yang digunakan untuk melindungi dan menyokong kakinya.

Untuk rekod, Shahrel telah mengalami kecederaan serius selepas dimasukan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dan beliau hanya sempat beraksi selama 10 minit dalam saingan Liga Super menentang Sri Pahang FC pada 5 Mei yang lalu.

Sebaik sahaja dikeluarkan dari padang, Shahrel telah dibawa ke hospital berdekatan venue perlawanan untuk membuat pemeriksaan x-ray kemudian terus dihantar ke Ara Damansara bagi menjalani pembedahan selepas disahkan mengalami retak tulang kanan fibula.

Menurut Helber Richard, ahli fisioterapi pasukan utama Selangor FC, Shahrel telah berikan komitmen yang baik sepanjang sesi pemulihan dan beliau sekarang tidak lagi perlu bantuan kasut ortopedik untuk berjalan.

"Kami telah merancang program pemulihan untuk Shahrel selama empat hingga lima bulan. Setakat ini beliau menjalaninya dengan baik dengan bantuan doktor pasukan seperti Dr Vijayan yang sentiasa memantau perkembangannya, Coach Khairulanwar (jurulatih kecergasan) yang menjaga kecergasannya dan Cik Puteri (ahli nutrisi pasukan) yang menyelia diet dan pemakanannya sepanjang sesi pemulihannya," terang Helber tentang perancangan pemulihan pemain penyerang Selangor FC tersebut.

"Beliau telah menjalani sesi pemulihan sekitar 5 minggu dan memberi komitmen yang sangat baik untuk kembali pulih," tambahnya lagi.

"Terkini, Shahrel perlahan-lahan tidak lagi menggunakan kasut ortopedik semasa proses pemulihannya untuk beberapa aktiviti di gim. Hari Jumaat ini akan menjadi hari terakhir beliau menggunakannya serta beliau boleh mula memandu seperti biasa," kata Helber yang nyata gembira dengan perkembangan terbaru Shahrel.

Sebelum mengakhiri perbualan, Helber menyatakan harapannya agar Shahrel terus menjalani sesi pemulihan yang baik, selalu mendengar nasihat yang diberikan dan dia yakin beliau akan kembali ke lapangan dalam masa empat hingga lima bulan yang akan datang.

Selangor FC berharap Shahrel tidak akan putus harapan dan akan terus berikan komitmen untuk kembali pulih serta mendapatkan semula keyakinan untuk bermain. Semoga dipermudahkan, Eky!

Perkembangan lanjut mengenai pasukan utama Selangor FC akan dikemaskini dan dimaklumkan dari semasa ke semasa kelak.

Demi kebanggaan!