Jul 09, 2021 - FASKesihatan mental adalah ekspresi emosi yang melambangkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup. Ia merupakan asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara efektif.
Kesihatan mental juga merupakan antara perkara penting dalam kehidupan yang perlu diambil tahu oleh semua orang bagi menjaga diri sendiri dan orang sekeliling kita, lebih-lebih lagi apabila gejala bunuh diri ekoran tekanan emosi banyak berlaku sejak baru-baru ini.
Menurut Bryan Win, ahli psikologi Selangor FC menerangkan bahawa perkara-perkara kecil mampu mengganggu tekanan mental seseorang dan antara cara merawatnya adalah dengan meluahkan rasa resah tersebut kepada keluarga atau rakan sebaya.
"Banyak faktor-faktor yang boleh mempengaruhi gangguan mental seseorang walaupun sekecil-kecil perkara dan jika tidak dirawat dengan cepat, ia akan mendatangkan tekanan yang lebih teruk kepada seseorang."
"Bagi saya, cara paling terbaik untuk merawat adalah jangan menidakkan diri anda dilanda kemurungan, tetapi terima rasa tersebut dan cuba luahkan tekanan tersebut kepada mereka yang anda percaya seperti keluarga atau rakan sebaya," terang Bryan.
"Orang sekeliling juga memainkan peranan yang penting, jika anda nampak ahli keluarga atau rakan-rakan mengalami kemurungan, tanya mereka apa yang berlaku dan cuba dengar cerita mereka supaya dapat melegakan rasa tekanan tersebut," tambahnya.
Selain Bryan, pemain Selangor FC, Shahrel Fikri juga berkongsikan cara beliau mengatasi tekanan mental yang pernah beliau hadapi suatu masa dahulu.
"Pujian dan tomahan dari penyokong merupakan perkara biasa yang dihadapi oleh setiap pemain bola sepak, tetapi setiap perkara perlu ada batasnya kerana kita tak tahu tahap kesihatan mental seseorang."
“Semua manusia pernah bergelut dengan perasaan murung, bagi saya kita kena selalu fikirkan tentang keluarga dan kita hidup sekali sahaja, jadi kita perlu tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri. Selain itu, kita perlu gembirakan diri sendiri dengan berhubung dengan rakan-rakan dan bercerita tentang perkara-perkara yang boleh membuat mengurangkan rasa tertekan tersebut,” jelas penyerang kebangsaan tersebut.
“Banyak cara untuk kita kurangkan tekanan yang kita hadapi. Bagi saya, apabila saya rasa tertekan, saya akan menyanyi dan ia membuatkan saya merasa lebih kurang tertekan.”
Dalam keadaan yang mendesak ini, Selangor FC berharap agar semua penyokong Selangor dapat mengamalkan sikap #KitaJagaKita dalam membuat pemantauan kesihatan mental rakan-rakan dan ahli keluarga kita, disamping menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Demi kebanggaan!