Jul 10, 2021 - FASKelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini ingin mengumumkan pelancaran RG Care Foodbank, sebuah inisiatif untuk menyalurkan bantuan makanan dan barang keperluan lain kepada penduduk Selangor yang terjejas ekoran pandemic COVID-19.
Inisiatif ini merupakan sebahagian dari usaha Red Giants Care, entiti yang diwujudkan untuk melakukan kerja-kerja amal (CSR) kelab bola sepak ini, khususnya dalam membantu golongan masyarakat yang kurang bernasib baik. Usaha ini turut disokong dengan kerjasama oleh beberapa rakan rasmi Red Giants, pemain Selangor dan rakan NGO kelab ini.
RG Care Foodbank adalah sebuah program kutipan derma yang menyediakan bahan makanan dan keperluan asas untuk diletakkan di bank makanan di beberapa lokasi terpilih di sekitar Shah Alam; Shell Seksyen 9, Shell Seksyen 17, Shell Sri Muda 2, Shell TTDI Jaya dan Petron Seksyen 18.
Penduduk Selangor berdekatan yang memerlukan bantuan boleh mengambil barang keperluan yang disediakan di sini secara percuma bermula 10 Julai ini sehingga 10 Ogos nanti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, program RG Care Foodbank ini dilaksanakan kerana SFC percaya bahawa ianya adalah satu tanggung jawab bersama untuk kita membantu mereka yang memerlukan.
“Antara visi dan misi kami di Selangor FC adalah untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan penyokong dan penduduk Selangor dengan turut memahami kesusahan yang dilalui mereka, terutamanya golongan masyarakat yang kurang bernasib baik di negeri ini”.
“Sekarang ini, ramai yang terjejas dan tidak dapat mencari rezeki secara normal ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dengan pelancaran RG Care Foodbank, diharapkan ianya dapat membantu sedikit sebanyak kesulitan yang dihadapi oleh mereka.” jelas Dr. Johan.
Program ini merupakan program kedua bagi Red Giants Care tahun ini setelah SFC melancarkan Program Infaq Tilapia, sebuah tabung derma yang menyediakan juadah berbuka dalam bentuk sumbangan ikan tilapia segar kepada beberapa rumah orang-orang tua, pusat tahfiz dan rumah anak-anak yatim terpilih di negeri Selangor pada bulan Ramadan yang lalu.
Bagi para penyokong atau badan korporat yang berminat untuk memberikan sumbangan kepada program RG Care Foodbank, anda boleh menghulurkan sumbangan dalam bentuk barang keperluan asas di lokasi bank makanan terpilih atau menyalurkan sumbangan derma dalam bentuk wang ringgit ke bit.ly/rgcarefoodbank
Diharapkan usaha ini dapat menggalakkan pihak-pihak lain untuk turut bersama membantu masyarakat yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan di kawasan masing-masing.
Demi kebanggaan.
Kita jaga kita.