The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Selangor Tekad Mulakan Kembali Saingan Dengan Kebangkitan

Jul 23, 2021 - FAS

Malam ini, Selangor FC akan meneruskan pusingan kedua saingan Liga Super 2021 menentang Kuala Lumpur City FC (KLCFC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras selepas hampir tiga bulan Liga M berehat.

Untuk rekod, perlawanan Derbi Lembah Klang di pusingan pertama Liga Super 2021 pada 13 Mar yang lalu telah berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, pasukan telah menggunakan rehat panjang tersebut dengan memperbaiki kesilapan dalam perlawanan-perlawanan yang lalu dan tidak menafikan KLCFC merupakan pasukan yang kuat dengan kemasukan beberapa pemain baru mereka.

"Pihak kejurulatihan telah menggunakan tempoh rehat Liga M ini dengan menjalankan latihan berpusat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara) dan MFL (Malaysia Football League),”

“Pemain-pemain Gergasi Merah telah menyiapkan diri dengan corak permainan dan strategi yang kami ingin gunakan bagi menentang KLCFC hari ini dan saya yakin mereka akan melaksanakannya dengan baik," tegas Karsten.

“Tidak dinafikan KLCFC yang akan kami berdepan ini mempunyai aura yang baru dengan kemasukan beberapa pemain baharu mereka namun saya yakin kita tidak perlu beri tumpuan berlebihan mengenai perkara itu tetapi tumpu kepada diri dan pasukan sendiri bagi memberikan perlawanan yang baik kepada mereka”

Bagi keberadaan pemain, seperti yang sedia maklum, Halim Saari (ACL) dan Shahrel Fikri (kecederaan pergelangan kaki) tidak akan bersama pasukan sehingga hujung musim ini.

Selain itu, dua tonggak import Gergasi Merah, Safuwan Baharudin (concussion) dan Tim Heubach (kecederaan buku lali) juga tidak dapat diturunkan untuk beberapa minggu lagi kerana masih menjalani program fisioterapi sebelum dibenarkan untuk kembali beraksi.

Biarpun demikian, Karsten Neitzel boleh menarik nafas lega apabila Nik Sharif Haseefy berkemungkinan besar bakal membuat penampilan pertamanya untuk musim ini selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali semasa pramusim awal tahun lalu. 

Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta Liga Super 2021 adalah di tangga ke-5 dengan 19 mata terkumpul hasil dari lima kemenangan, empat seri dan empat kekalahan, manakala KLCFC pula di tempat ke-6 dengan perbezaan 2 mata. 

Kemenangan dengan lebih dua jaringan malam esok bakal menyaksikan Selangor mampu memintas kedudukan Penang FC di tempat ke-4 dengan 22 mata terkumpul.

Semoga Selangor FC akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan kali ini dan sekaligus berjaya mengutip tiga mata penuh. Teruskan perjuangan Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!