The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC, Segi Fresh Jalin Kerjasama Hulur Sumbangan Makanan Kepada Yang Memerlukan

Jul 26, 2021 - FAS

Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini ingin mengumumkan kerjasama bersama Syarikat Segi Value Holdings Sdn Bhd, dalam misi menghulurkan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Inisiatif yang dikenali sebagai Ehsan Kit Segi Fresh 2021 ini merupakan sebahagian dari usaha Red Giants Care, entiti yang diwujudkan untuk melakukan kerja-kerja amal (CSR) kelab bola sepak ini, khususnya bekerjasama dengan pihak korporat dalam usaha membantu  mereka yang memerlukan.

Ehsan Kit Segi Fresh 2021 adalah sebuah program sumbangan yang mengumpulkan sebanyak 10,000 beg makanan mengandungi bahan makanan basah/kering dan segar yang bakal disalurkan kepada golongan yang hilang pekerjaan, OKU dan ibu tunggal di beberapa cawangan Segi Fresh di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka.

Program ini bermula 26 Julai 2021 dan bakal tamat apabila kesemua beg makanan tersebut habis diagihkan kepada yang memerlukan.

Usaha ini turut diberi penekanan oleh Pengerusi Selangor FC, DYTM Tengku Amir Shah. Menurut baginda, program ini dilaksanakan kerana SFC percaya usaha ini adalah tanggungjawab bersama untuk membantu mereka yang memerlukan.

“SFC sangat berterima kasih kepada Segi Fresh atas kolaborasi ini. Sehingga kini, pihak Segi Fresh telah banyak menyokong SFC melalui penajaan barangan keperluan kepada pihak pengurusan kelab. Kini giliran penyokong-penyokong Selangor pula yang akan dibantu melalui sumbangan barangan keperluan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terjejas oleh pandemik ini,” jelas Tengku Amir.

Pengarah Segi Value Holdings Sdn Bhd, Dato’ Syed Haizam pula merasakan bahawa ini juga merupakan satu usaha murni yang bukan sahaja dapat mendekatkan jenama mereka dengan penyokong Selangor, malah ia dalam masa yang sama juga merupakan suatu inisiatif yang mampu menjadi saluran untuk Segi Fresh memberi sesuatu kembali kepada pelanggan-pelanggan mereka.

“Kejayaan Segi Fresh pada hari ini telah dibantu oleh pelanggan-pelanggan kami dari seluruh negara, terutamanya di negeri Selangor. Jadi, apabila PKP melanda dan ramai antara mereka yang tidak dapat bekerja, kami terpanggil untuk memberi sesuatu kepada komuniti ini. Jelas, kerjasama bersama Selangor FC adalah penting kerana kami melihat SFC juga merupakan satu pasukan yang sangat aktif dalam usaha-usaha murni luar padang melalui unit RG Care mereka,” jelasnya.

Bagi para penyokong yang memerlukan bantuan beg makanan dari program ini, mereka boleh memohon secara terus melalui langkah yang disediakan di saluran media sosial Selangor FC.

Usaha ini juga merupakan kesinambungan dari program Red Giants Care Foodbank yang kini sedang dijalankan di sekitar Shah Alam. Ini antara komitmen Selangor FC dalam membantu penyokong-penyokong Selangor yang terkesan ekoran pandemic COVID-19 dan PKP yang dilaksanakan di negeri ini.

Diharapkan usaha ini dapat menggalakkan pihak-pihak lain untuk turut bersama membantu masyarakat yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan di kawasan masing-masing.

Demi kebanggaan.

Kita jaga kita.