Jul 27, 2021 - FASMalam ini pasukan Selangor FC akan menerima kunjungan juara bertahan liga, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) di Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebagai tuan rumah untuk perlawanan ke-15 saingan Liga Super 2021.
Untuk rekod, dalam pusingan pertama Liga Super musim ini pasukan Gergasi Merah telah berjaya mengikat JDT dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor hasil jaringan penyerang prolifik Selangor FC iaitu Ifedayo Olusegun pada minit ke-7 perlawanan.
Bagi perlawanan malam ini pula, Karsten Neitzel, Ketua Jurulatih Selangor FC telah membimbing anak-anak buahnya dengan strategi yang telah dirancang bersama barisan jurulatih untuk bermain dengan aksi yang terbaik menentang JDT.
"Barisan jurulatih telah menjalankan sesi pemulihan selepas perlawanan menentang KL City FC dan mengadakan beberapa sesi bersama pemain secara berkumpulan dan sepasukan bagi memahami rancangan yang akan dilakukan untuk perlawanan malam ini," jelas Karsten.
"Para pemain perlu jelas dengan segala rancangan dan informasi bagi menyediakan diri mereka sebelum wisel perlawanan ditiup. Saya percaya mereka akan berikan yang terbaik mengikut apa yang telah dirancang," tambahnya lagi.
"Tidak dinafikan, JDT mempunyai senarai pemain yang berkualiti termasuk pemain di bangku simpanan mereka. Jadi perlawanan malam ini sama seperti perlawanan yang lain, pemain perlu berikan 100 peratus dan saling membantu rakan sepasukan di atas padang untuk mendapatkan keputusan yang terbaik," tegasnya untuk perlawanan malam ini.
Bagi keberadaan pemain, Selangor FC tidak dapat menurunkan dua pemain import iaitu Safuwan Baharudin (concussion) dan Tim Heubach (kecederaan buku lali) sehingga mereka kembali pulih.
Manakala, dua pemain tonggak Gergasi Merah Halim Saari (ACL) dan Shahrel Fikri (kecederaan pergelangan kaki) sedang menjalani sesi pemulihan bersama pegawai fisio Selangor FC dan tidak akan bersama pasukan sehingga hujung musim ini.
Pada hari Isnin yang lalu, Selangor FC telah membuat pengumuman rasmi berkenaan keadaan Brendan Gan yang menghidapi kanser testis baru-baru ini. Karsten Nietzel menyatakan beliau akan sentiasa berada di belakang Brendan sehingga beliau pulih begitu juga para jurulatih, pegawai, pemain dan pihak pengurusan Gergasi Merah.
Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta Liga Super 2021 adalah di tangga ke-5 dengan 20 mata terkumpul hasil dari lima kemenangan, lima seri dan empat kekalahan, manakala manakala pasukan JDT pula berada di takhta liga dengan 30 mata.
Kemenangan bakal menyaksikan Selangor mencabar kedudukan Penang FC di kedudukan keempat liga yang berkelebihan 2 mata dan bakal berdepan UiTM FC pada masa yang sama.
Semoga Selangor FC akan membawa pulang tiga mata berharga di laman sendiri malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!