The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Selangor "Tempang" Berdepan Harimau Kumbang Di Kandang Lawan

Jul 31, 2021 - FAS

Selangor FC bakal meneruskan perjuangan saingan pusingan kedua Liga Super 2021 malam ini dengan bertandang ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini menentang Penang FC.

Karsten Neitzel, Ketua Jurulatih Selangor FC mahu terus berikan kepercayaan kepada pemain-pemain muda untuk menggalas tanggungjawab mereka di atas padang dan membawa aura Gergasi Merah menentang Harimau Kumbang malam ini.

"Bagi saya kita harus terus memandang kedepan untuk bangkit daripada kekalahan yang lalu. Biarpun kita kehilangan beberapa pemain tonggak baru-baru ini namun saya tidak mahu jadikan ia sebagai alasan tetapi saya yakin ini adalah masa untuk berikan kepercayaan kepada pemain-pemain muda untuk beraksi sepenuhnya dan berikan pengalaman ini untuk mereka," ulas Karsten.

"Setakat ini, pemain-pemain muda daripada pasukan pembangunan (Selangor FC 2) yang dibawa naik ke pasukan utama telah menambah aura baharu Gergasi Merah. Saya percaya mereka akan semakin matang untuk beraksi di pentas tertinggi Liga M bersama pemain senior yang telah banyak membimbing mereka sepanjang musim ini," tambahnya lagi.

"Namun begitu, apa yang penting sekarang adalah mentaliti mereka semasa perlawanan bermula sehingga wisel penamat. Persiapan telah dilakukan sebelum bergerak ke Pulau Pinang semalam. Saya mahu mereka berikan seratus peratus dan berusaha untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Pulau Pinang," tegas Karsten.

Menurut Karsten lagi, setelah menganalisis perlawanan menentang Penang FC, beliau dan barisan jurulatih Selangor FC telah merancang beberapa strategi untuk digunakan malam ini bagi memberikan perlawanan yang terbaik.

Bagi keberadaan pemain, Selangor FC tidak dapat menurunkan dua pemain import iaitu Safuwan Baharudin (concussion) dan Tim Heubach (kecederaan buku lali) sehingga mereka kembali disahkan pulih dan selesai menjalani proses fisioterapi.

Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah Halim Saari (ACL), Shahrel Fikri (kecederaan pergelangan kaki) dan ketua pasukan, Brendan Gan sedang menjalani sesi pemulihan bersama pegawai fisio Selangor FC dan dijangka tidak akan bersama pasukan sehingga hujung musim ini.

Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta Liga Super 2021 adalah di tangga ke-5 dengan 20 mata terkumpul hasil dari lima kemenangan, lima seri dan lima kekalahan.

Kemenangan di Pulau Pinang bakal memberi ruang kepada Selangor FC bagi merapatkan kedudukan dengan pasukan Harimau Kumbang di kedudukan keempat liga yang berkelebihan 5 mata pada masa kini.

Semoga tiga mata penuh berjaya dibawa pulang Selangor FC malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!