The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Gergasi Merah Buru Kemenangan Seterusnya Ke Atas The Lions

Aug 03, 2021 - FAS

Selepas berjaya membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium Bandaraya dengan kemenangan 4-1 ke atas pasukan Penang FC Sabtu lalu, hari ini pasukan Selangor FC akan menentang UiTM FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 9 malam.

Karsten Neitzel, ketua jurulatih Selangor FC bersyukur dengan komitmen yang diberikan oleh pasukan dan yakin bahawa motivasi positif sekarang akan membantu anak buahnya meraih tiga mata seterusnya.

"Seperti pasukan lain, kami hanya mempunyai dua hari untuk membuat persiapan perlawanan seterusnya dan bagi saya perkara paling utama adalah sesi pemulihan pemain dan menyediakan rancangan bagaimana kami mahu bermain semasa bertahan dan menyerang menentang pasukan seterusnya," jelasnya.

"Kami perlu melakukan semuanya dalam masa yang singkat tetapi saya sangat gembira dengan para jurulatih, pegawai dan pemain dapat berikan komitmen yang tinggi untuk setiap perlawanan dan ini adalah yang terbaik untuk  pasukan bagi meneruskan perjuangan sehingga Liga M tamat."

"Motivasi pasukan juga sekarang ini berada dalam keadaan yang lebih baik. Mereka mempunyai lebih banyak keyakinan diri sendiri serta berani mengambil risiko besar semasa perlawanan. Kita memerlukan gabungan pemain yang baik untuk mempamerkan persembahan yang terbaik untuk para penyokong,” komen pengendali dari Jerman itu.

"Menyentuh tentang pasukan UiTM FC, tidak menafikan mereka mempunyai kelebihan di bahagian serangan namun saya juga tetap yakin dengan pemain-pemain saya untuk membawa pulang tiga mata seterusnya."

Bagi keberadaan pemain, Selangor FC tidak dapat menurunkan dua pemain import iaitu Safuwan Baharudin (concussion) dan Tim Heubach (kecederaan buku lali) sehingga mereka kembali disahkan pulih dan selesai menjalani proses fisioterapi.

Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah Halim Saari (ACL), Shahrel Fikri (kecederaan pergelangan kaki) dan ketua pasukan, Brendan Gan sedang menjalani sesi pemulihan bersama pegawai fisio Selangor FC dan dijangka tidak akan bersama pasukan sehingga hujung musim ini.

Penyokong Selangor bagaimanapun boleh menarik nafas lega setelah tiga pemain import mereka yang terlepas aksi di Stadium Bandaraya hujung minggu lalu, Manuel Konrad, Oliver Buff dan Jordan Ayimbila kini kembali ke pangkuan pasukan setelah bebas dari kecederaan dan penggantungan menjelang pertemuan dengan The Lions.

Pasukan The Lions kini berada di dasar liga dengan 2 mata, manakala pasukan Gergasi Merah pula berada di kedudukan ke-5 liga dengan enam kemenangan, lima seri dan lima kekalahan.

Kemenangan malam ini akan mencabar kedudukan Penang FC di kedudukan keempat liga dan pasukan KL City FC pula berpeluang untuk memintas Selangor di kedudukan kelima.

Semoga Selangor FC akan membawa pulang tiga mata berharga di laman sendiri malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan.