Aug 20, 2021 - FASMalam ini, Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Perak, Ipoh menentang pasukan The Bos Gaurus untuk meneruskan saingan Liga Super 2021 pada jam 9 malam.
Untuk rekod, Gergasi Merah berjaya memungut tiga mata penuh di halaman sendiri semasa bertemu The Bos Gaurus dalam pusingan pertama saingan Liga Super 2021 dengan keputusan 3-1 hasil jaringan hatrik penjaring prolifik Selangor FC, Ifedayo Olusegun.
Menurut Karsten Neitzel, ketua jurulatih Selangor FC pasukan mahu terus mempamerkan aksi yang terbaik bagi mendapatkan tiga mata seterusnya.
"Bagi saya sebagai jurulatih, pasukan telah beraksi dengan baik dan ini juga merupakan petanda bahawa semua pemain adalah sangat penting dalam pasukan termasuk pemain simpanan. Saya benar-benar berpuas hati dengan tiga perlawanan terakhir, apa yang kami telah capai adalah semua hasil kerja keras mereka bersama," kata beliau setelah Selangor FC merakamkan 3 kemenangan berturut-turut baru-baru ini.
"Barisan jurulatih Selangor FC telah menyiapkan pasukan saban minggu bagi menghadapi setiap perlawanan. Semasa sesi latihan, kami akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan dan menguatkan lagi kelebihan yang ada dalam pasukan."
"Kita semua berharap dapat meneruskan momentum yang baik ini. Pasukan telah bersedia untuk perlawanan malam ini. Semoga kita dapat mempamerkan aksi yang baik dan memperoleh tiga mata seterusnya," tegasnya.
Bagi keberadaan pemain, Selangor FC tidak dapat menurunkan Aliff Haiqal Lau yang cedera semasa perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Tim Heubach (kecederaan buku lali) sehingga mereka selesai menjalani proses fisioterapi.
Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah; Halim Saari, Shahrel Fikri dan ketua pasukan, Brendan Gan juga masih menjalani sesi pemulihan bersama pegawai fisio Selangor FC dan dijangka akan kembali ke pasukan selepas tamat musim ini.
Penyokong Selangor bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila penjaga gawang utama pasukan, Khairulazhan Khalid bakal kembali ke pangkuan pasukan setelah pulih dari kecederaan minggu lalu sebelum pertemuan dengan Lang Merah.
Pasukan Perak FC kini berada di kedudukan kedua dari dasar liga dengan 13 mata, manakala pasukan Gergasi Merah pula berada di kedudukan ke-5 liga dengan 29 mata daripada tujuh kemenangan, lima seri dan lima kekalahan.
Kemenangan malam ini akan mencabar kedudukan Kedah Darul Aman FC di kedudukan keempat liga yang mengumpul jumlah mata sama dan dibezakan dengan 2 perbezaan jaringan gol.
Semoga Selangor FC akan membawa pulang tiga mata berharga ini. Selamat berjuang, Gergasi Merahku!
Demi Kebanggaan.