SELANGOR FC
BERITA

Coach Karsten: Kami Mahu Terus Menang

Aug 27, 2021 - FAS

Selangor FC akan meneruskan perjuangan saingan Liga Super 2021 malam ini dengan menerima kunjungan Melaka United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 9 malam.

Untuk rekod, pertemuan kali terakhir antara kedua-dua pasukan adalah dalam pusingan pertama Liga Super 2021 berakhir kemenangan Gergasi Merah dengan keputusan 3-2 di Stadium Hang Jebat hasil jaringan dua gol daripada Ifedayo Olusegun dan satu volley gol Syahmi Safari pada minit-minit akhir perlawanan.

Kemenangan minggu lalu pasti lebih menaikkan semangat pasukan Gergasi Merah untuk meneruskan momentum yang baik serta mempamerkan aksi yang memberangsangkan dalam perlawanan ini.

Menurut Karsten Neitzel, ketua jurulatih Selangor FC gembira dengan pencapaian pemain-pemain yang tidak mensia-siakan peluang yang ada dan mahu pasukannya untuk terus mempamerkan aksi yang terbaik serta meraih lagi tiga mata seterusnya.

"Para pemain berada dalam motivasi yang sangat baik dan saya sangat gembira dengan persembahan yang mereka lakukan di atas padang walaupun banyak yang perlu diperbaiki. Tetapi, mereka telah lakukan sehabis baik untuk meneruskan momentum kemenangan baru-baru ini."

"Selain itu, barisan jurulatih juga telah membuat persiapan untuk pemain memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini. Saya yakin kita akan dapat perbaiki aspek-aspek tersebut dengan masa yang ada," tambah Coach Karsten.

"Paling penting adalah untuk fokus dengan kemajuan pasukan dan diri mereka sendiri (pemain). Bagi saya jika kita mampu memenangi perlawanan sebelum ini maka tidak mustahil untuk mendapat kemenangan untuk aksi seterusnya."

Bagi keberadaan pemain, Selangor FC kehilangan khidmat pemain pertahanan tengah muda, Sharul Nazeem yang digantung selepas mengumpul tiga kad kuning pada perlawanan sebelum ini dan masih tidak dapat menurunkan Tim Heubach yang masih dalam proses pemulihan.

Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah; Halim Saari, Shahrel Fikri dan ketua pasukan, Brendan Gan juga masih menjalani sesi pemulihan jangka masa panjang dan dijangka akan kembali ke pasukan selepas tamat musim ini.

Penyokong Selangor bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila jurutera tengah muda Red Giants, Aliff Haiqal Lau sudah kembali menjalani sesi latihan serta persiapan untuk perlawanan malam ini.

Pasukan Melaka United FC kini berada di kedudukan ke-9 dari liga dengan 17 mata, manakala pasukan Gergasi Merah pula berada di kedudukan ke-5 liga dengan 32 mata daripada lapan kemenangan, lima seri dan lima kekalahan.

Kemenangan malam ini akan mencabar kedudukan Penang FC di kedudukan keempat liga pada minggu ini.

Semoga Selangor FC akan meraih tiga mata seterusnya malam ini. Ayuh Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan.