The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

10 Pemain Gergasi Merah Dipanggil Ke Kem Latihan B23 Kebangsaan

Sep 02, 2021 - FAS

Sepuluh pemain Selangor FC 2, Faiz Amer (18 tahun), Khairi Suffian (18 tahun), Azrin Afiq (19 tahun), Fahmi Daniel (19 tahun), Izzul Adham (19 tahun), Sikh Izhan (19 tahun), Iqmal Ramlan (20 tahun), Firdaus Irman (20 tahun), Saravanan Thirumurugan (20 tahun) dan Saiful Iskandar (22 tahun) telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan Fasa 1 di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memutuskan untuk menghantar kelompok pemain berusia bawah 20 tahun dibawah kendalian ketua jurulatih, Brad Maloney serta beberapa tambahan pemain senior yang lahir tidak lebih daripada tahun 1999 mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Sesi latihan ini akan berlangsung selama sembilan hari sehingga 7 September bagi membuat persiapan awal menjelang saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 kumpulan J bertemu Laos, Thailand dan tuan rumah Mongolia, dari 27 hingga 31 Oktober ini.

Sebanyak 11 juara dari setiap kumpulan akan disertai empat pasukan tempat kedua terbaik kumpulan dan juga tuan rumah, Uzbekistan bagi melengkapkan senarai 16 pasukan yang bakal beraksi pada Piala Asia B-23 2022 yang dijadualkan berlangsung di Tashkent pada tahun hadapan.

Walau bagaimanapun, penjaga gol muda Gergasi Merah, Sikh Izhan Nazrel tidak dapat menyertai latihan pusat ini kerana mengalami kecederaan.

Selangor FC mengucapkan selamat berjaya kepada kesemua pemain muda harapan Malaysia ini dan berharap agar mereka bakal menimba ilmu ketika berada di sana.

Demi kebanggaan.