SELANGOR FC
BERITA

Selangor Enggan Berputih Mata Lagi Di Stadium Likas

Sep 05, 2021 - FAS

Malam ini Selangor FC meneruskan perlawanan di tempat lawan terakhir Liga Super 2021 dengan menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu jam 8.15 malam.

Menurut Karsten Neitzel, ketua jurulatih Selangor FC mahu pemain untuk terus berikan persembahan yang baik dan dapatkan tiga mata berharga biarpun masih kehilangan beberapa pemain tonggak utama.

"Bagi saya setiap peluang yang ada tidak kira besar atau kecil, kita harus memperjuangkannya dan mencuba segala-galanya untuk menamatkan liga di kedudukan tertinggi. Jadi, tiga mata adalah sasaran dalam dua perlawanan akhir saingan Liga Super musim ini," tegas Karsten.

"Walaupun Selangor FC kehilangan beberapa pemain tonggak namun saya tidak menjadikan ianya alasan kerana kita mempunyai barisan pemain yang bagus dalam pasukan. Paling penting adalah prestasi kita di atas padang untuk menjadi antara pasukan yang terbaik."

"Saya percaya setiap pemain akan lakukan sehabis baik dalam padang sebentar malam ini dan barisan kejurulatihan telah membuat persiapan yang perlu untuk mereka untuk beraksi menentang Sabah FC. Tidak lupa juga barisan pemain muda yang telah menambah seri pasukan musim ini, mereka masih mencari rentak permainan tersendiri, namun saya yakin mereka akan sentiasa berikan yang terbaik," tambahnya.

Bagi keberadaan pemain, Selangor FC kehilangan khidmat pemain pertahanan tengah, Ashmawi Yakin yang digantung satu perlawanan setelah menerima kad merah pada perlawanan sebelum ini dan masih tidak dapat menurunkan Tim Heubach yang masih dalam proses pemulihan.

Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah; Halim Saari, Shahrel Fikri dan ketua pasukan, Brendan Gan juga masih menjalani sesi pemulihan jangka masa panjang dan dijangka akan kembali ke pasukan selepas tamat musim ini.

Penyokong Selangor bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila pemain bek tengah muda Red Giants, Sharul Nazeem kembali bersama pasukan setelah digantung satu perlawanan daripada pengumpulan tiga kad kuning.

Pasukan The Rhinos kini berada di kedudukan ke-9 dari liga dengan 19 mata, manakala pasukan Gergasi Merah pula berada di kedudukan ke-5 liga dengan 33 mata daripada lapan kemenangan, enam seri dan lima kekalahan. Sewaktu pertemuan di pusingan pertama musim ini, Selangor kehilangan 2 mata apabila Sabah berjaya menyamakan kedudukan 2-2 dengan gol penyamaan lewat permainan.

Kemenangan malam ini akan memastikan Gergasi Merah terus bersaing untuk merebut tempat ke-3 terbaik liga untuk mencerahkan peluang beraksi di pentas Asia pada musim hadapan (tertakluk kepada keputusan Piala Malaysia).

Semoga Selangor FC dapat membawa pulang tiga mata malam ini. Teruskan perjuangan Gergasi Merah!

Demi kebanggaan.