SELANGOR FC
BERITA

Nor Hakim Berterima Kasih Kepada Rakan Sepasukan Untuk Gol Sulung Gergasi Merah

Sep 08, 2021 - FAS

Kemenangan 6-0 di Stadium Likas, Sabah dalam saingan Liga Super 2021 hujung minggu lalu telah merekodkan beberapa pencapaian baharu untuk pemain-pemain Selangor FC secara individu dalam karier bola sepak mereka.

Selain penyerang prolifik Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun telah memecahkan rekod penjaring terbanyak semusim Liga Super Malaysia dalam perlawanan menentang Sabah FC, dua pemain lain telah menyenaraikan nama mereka dalam senarai penjaring gol pasukan Selangor FC setelah berjaya menjaringkan gol sulung mereka untuk kelab.

Mereka yang dimaksudkan adalah Mukhairi Ajmal, pemain tengah muda yang telah menjaringkan gol semasa tambahan masa separuh masa pertama dengan larian solo memperdayakan dua orang pertahanan The Rhinos dan disudahkan dengan sepakan padu yang berjaya menewaskan Robson Rendy sekaligus menambah gol ketiga buat Selangor FC.

Pemain kedua yang menjaringkan gol sulung mereka untuk Gergasi Merah adalah Nor Hakim Hassan yang mencetak gol ke-4 Selangor FC di babak kedua perlawanan selepas hanya 30 saat dimasukan.

Nor Hakim sempat berkongsikan perasaan beliau semasa menjaringkan gol pertamanya musim ini.

"Saya berasa sangat bersyukur apabila dapat menjaringkan gol pertama untuk musim ini semasa menentang Sabah FC dan berbangga dengan rakan sepasukan yang sentiasa memberi semangat kepada saya terus bangkit dan berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," jelas Nor Hakim.

"Tidak dinafikan saya sangat gembira kerana dapat membuka akaun gol untuk kelab ini, tapi secara jujurnya saya sendiri hampir tidak percaya saya dapat menghasilkan gol sedemikian. Ini semua atas usaha yang saya lakukan selama ini dan juga bantuan rakan sepasukan, Alhamdulillah."

Selangor FC mengucapkan tahniah kepada Ifedayo Olusegun, Mukhairi Ajmal dan Hakim Hassan atas pencapaian individu mereka dalam saingan Liga Super musim ini. Semoga setiap pemain Gergasi Merah dapat melakar lebih banyak pencapaian bersama musim ini.

Demi Kebanggaan!