SELANGOR FC
BERITA

Selangor Mahu Akhiri Musim Dengan Kemenangan

Sep 12, 2021 - FAS

Malam ini pasukan Selangor FC akan menamatkan saingan Liga Super 2021 dengan menjadi pasukan tuan rumah di Stadium MBPJ menentang PJ City FC jam 9 malam.

Untuk rekod, kali terakhir Gergasi Merah bertemu PJ City FC adalah dalam pusingan pertama perlawanan Liga Super musim ini dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan calon penjaring terbanyak liga musim ini, Ifedayo Olusegun pada minit ke-89 dan 90+3.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, perlawanan akhir kali ini pasukan perlu bermain bermati-matian untuk mendapatkan tiga mata penting ini.

“Pasukan telah membuat persiapan yang rapi untuk menentang PJ City FC malam ini. Suasana pasukan juga berada dalam keadaan yang baik. Kita sudah bersedia. Apa yang pasti kita mengejar kemenangan dan mahukan pengakhiran terbaik untuk siangan Liga Super musim ini.”

“Untuk perlawanan akhir ini, rahsianya adalah untuk bermain dengan bermati-matian. Kita perlu terus fokus dan berikan yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan bagi memudahkan perjalanan kita di Piala Malaysia 2021 yang akan bermula tidak lama lagi.”

Karsten juga sempat mengatakan beliau sangat gembira jika penonton diberikan kebenaran untuk kembali ke stadium semula bagi memeriahkan lagi saingan musim ini terutamanya di perlawanan di Stadium MBPJ ini.

Bagi keberadaan pemain, Selangor FC masih tidak dapat menurunkan Tim Heubach yang masih dalam proses pemulihan.

Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah; Halim Saari, Shahrel Fikri dan ketua pasukan, Brendan Gan juga masih menjalani sesi pemulihan jangka masa panjang dan dijangka akan kembali ke pasukan selepas tamat musim ini.

Penyokong Selangor bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila pemain bek tengah Red Giants, Ashmawi Yakin kembali bersama pasukan setelah digantung satu perlawanan daripada kad merah yang dimilikinya semasa menentang Perak FC.

Pasukan PJ City FC kini berada di kedudukan ke-8 dari liga dengan 21 mata, manakala pasukan Gergasi Merah pula berada di kedudukan ke-5 liga dengan 36 mata daripada sembilan kemenangan, enam seri dan lima kekalahan.

Perlawanan malam ini akan menjadi penentuan kedudukan Gergasi Merah untuk musim ini dan terus bersaing bagi merebut tempat ke-4 dan memudahkan perjalanan pasukan untuk Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

Semoga Selangor FC dapat mengumpul tiga mata penting malam ini. Ayuh Gergasi Merah!

Demi kebanggaan.