Sep 21, 2021 - FASKen Worden atau nama penuhnya Kenneth Joseph Worden telah dilahirkan pada 2hb Februari 1943 di Preston, England. Beliau pernah mewakili Preston North End dan Burnley sebelum berhijrah ke Australia.
Sewaktu di Australia, beliau telah membimbing Melbourne Croatia muncul naib juara NSL Australia Grand Final 1990 dan dijemput oleh FA Selangor (kini Selangor FC) untuk memberi khidmat nasihat teknikal kepada pasukan Selangor semasa pra-musim 1991 di Perth.
Pada pertengahan tahun tersebut, beliau telah dipanggil oleh pengurus pasukan, Dr. Nordin Selat bagi membantu ketua jurulatih Gergasi Merah ketika itu, mendiang Datuk M. Chandran selepas permulaan perlahan Selangor di musim 1991 sebelum mengambil-alih secara sepenuh masa berikutan peletakan jawatan mendiang.
Ken Worden mula disayangi oleh penyokong Selangor apabila beliau berjaya membawa Gergasi Merah menjuarai Piala FA 1991 menerusi jaringan tunggal Ismail Ibrahim yang menewaskan Perak 1-0, sekaligus menebus dendam tewas edisi sulung kepada lawan yang sama tahun pada sebelumnya.
Tahun 1991 juga menyaksikan Selangor hampir mencipta ‘double’ apabila Ken Worden membawa Gergasi Merah mara ke final Piala Malaysia 1991 namun terpaksa akur setelah tewas 1-3 kepada Johor di perlawanan akhir.
Kembalinya Mazlan Harun pada 1992 sebagai pengurus yang mahu menghidupkan gandingan beliau bersama M Chandran sebagai jurulatih yang banyak membawa kejayaan buat Selangor pada 1980-an telah menyebabkan posisi Ken Worden diambil alih.
Awal tahun 1992 menyaksikan Ken Worden dilantik menjadi jurulatih skuad kebangsaan menggantikan Rahim Abdullah. Sentuhan magis beliau telah membawa skuad Malaysia menjuarai Kejohanan Jemputan Vietnam, Piala Jakartaraya 1992 serta Pestabola Merdeka 1993.
Selepas kontrak bersama skuad kebangsaan tidak diperbaharui, beliau menerima tawaran dari seberang tambak bagi mengemudi skuad kebangsaan dan Liga-M Singapura bagi musim 1994.
Walau bagaimanapun, jodoh Ken Worden di Singapura tidak bertahan lama kerana hanya bertahan selama dua bulan sebelum beliau meletak jawatan dan kembali menjadi ketua jurulatih Selangor bagi menggantikan khidmat Bernard Schumm.
Antara legasi yang ditinggalkan oleh beliau adalah beliau telah menjadi jurulatih terakhir Selangor di Stadium Merdeka dan pertama Selangor di Stadium Shah Alam.
Kembalinya beliau ke Selangor buat kali pertama menyaksikan Selangor berada di tangga ke-7 liga, namun mara ke Separuh Akhir Piala Malaysia 1994 sebelum ditewaskan Singapura.
Tahun 1995 pula memperlihatkan Ken Worden membawa Selangor ke separuh akhir Piala FA (tewas kepada Sabah), naib juara liga sebelum menamatkan kemarau 9 tahun Piala Malaysia Selangor dengan menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di perlawanan akhir menerusi gol emas David Mitchell.
Pada tahun 1996, Selangor berjaya menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah 1996 dengan menewaskan Sabah 2-0, tewas sekali lagi di Separuh Akhir Piala FA (kepada Kedah), menamatkan liga di tangga ke-7 namun berjaya mempertahankan Piala Malaysia apabila menewaskan Sabah 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti (0-0 AET).
Setelah menjuarai Piala Malaysia dua tahun berturut-turut, Ken Worden melahirkan hasrat untuk tidak menyambung kontrak kepada pengurusan Selangor sebelum digantikan Steve Wicks untuk musim 1997.
Tiga tahun kemudian, Ken Worden telah menjadi ketua jurulatih pasukan Sabah sehingga pertengahan 2002 sebelum menyahut panggilan Selangor yang kehilangan jurulatih selepas tamat Liga berikutan peletakan jawatan Haji Abdul Rahman Ibrahim bagi membawa cabaran Piala Malaysia 2002.
Tuah nyata dimiliki oleh Ken Worden apabila pasukan Selangor berjaya muncul juara menewaskan bekas pasukan beliau, Sabah 1-0 di aksi final menerusi jaringan emas bintang muda meningkat naik, Amri Yahyah.
Kehilangan sebahagian besar tonggak 2002 menyaksikan Ken dan Selangor menghadapi musim suram 2003; tewas 0-1 kepada Pulau Pinang pada aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, disingkirkan MPPJ pada aksi Piala FA dan terkandas di peringkat Kumpulan Piala Malaysia.
Tambah perit, Selangor menamatkan liga di kedudukan ke-12, sekaligus gagal menyertai Liga Super yang diperkenalkan bagi musim 2004. Kontrak Ken Worden tidak disambung.
Selangor gagal dalam percubaan pertama untuk kembali ke Liga Super selepas sekadar muncul naib juara Liga Premier Kumpulan A, memaksa jurulatih dari Argentina, Ruben Omar Larossa ditamatkan kontrak dan Ismail Ibrahim mengambil-alih sebagai jurulatih interim di pertengahan musim.
Khidmat Ken Worden dipanggil kembali bagi membantu kempen Piala Malaysia, namun magis musim sebelumnya gagal diulangi kerana biarpun mara dari peringkat kumpulan, Selangor tewas kepada Pahang di peringkat suku akhir.
Ken Worden bagaimanapun masih dikekalkan di belakang tabir dengan membantu melatih skuad Piala Presiden dan Piala Belia Selangor pada musim 2005, tatkala Dollah Salleh mengemudi skuad utama Selangor mencipta kejuaraan hatrik Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia.
Antara Gergasi Merah yang pernah digilap oleh Ken Worden adalah penolong ketua jurulatih Selangor 2021, Adam Abdullah dan penolong ketua jurulatih Selangor 2 2021, Rusdi Suparman.
Ken Worden telah menghembuskan nafas terakhir beliau dengan tenang semalam, tanggal 20 September 2021 di Townsville General Hospital di samping anak perempuan beliau. Selangor FC mendoakan agar seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan mendiang agar terus tabah menghadapi detik-detik sukar ini.
Beliau akan sentiasa dikenang sebagai salah seorang ketua jurulatih terbaik yang pernah dimiliki oleh Gergasi Merah dan akan sentiasa menjadi sebahagian dari kami.
Kita adalah satu.