SELANGOR FC
BERITA

TM Piala Malaysia 2021: Selangor Buru Kemenangan Sulung

Sep 26, 2021 - FAS

Perjalanan kempen TM Piala Malaysia 2021 Gergasi Merah bakal bermula malam ini dengan menyaksikan pasukan Selangor FC bakal menentang Perak FC yang berkunjung ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 9.00 malam.

Untuk rekod, dalam saingan peringkat kumpulan, Gergasi Merah telah diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan Terengganu FC, Perak FC dan Kuching City FC.

Tidak seperti tahun lalu yang hanya berlangsung dalam format kalah mati, format TM Piala Malaysia pada tahun ini bakal dimulakan dengan pusingan awal (saingan peringkat kumpulan), di mana dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.

Untuk rekod dalam saingan TM Piala Malaysia, pasukan Gergasi Merah pernah bertemu dengan The Bos Gaurus di peringkat suku akhir dan berjaya mara ke peringkat separuh akhir dengan agregat 3-2 selepas berjaya menewaskan Perak 3-1 di Stadium Shah Alam pada musim 2019.

Menurut ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, semua perlawanan adalah sangat penting namun bagi mengharungi perlawanan pertama adalah sangat berbeza dan sudah tentu anak-anak buahnya mahukan kemenangan malam ini.

"Kami telah membuat persiapan yang baik pada minggu lalu. Kami telah melakukan sesi latihan khas untuk perlawanan pertama menentang Perak FC untuk TM Piala Malaysia 2021 ini. Para pemain benar-benar komited untuk mempersiapkan diri mereka bagi menghadapi perlawanan pada malam ini."

"Jelas pada saya perlawanan pertama adalah perkara yang istimewa dan kami tahu pentingnya untuk memenangi perlawanan malam ini. Dan itulah sasaran pasukan Selangor FC untuk mendapatkan kemenangan pertama dalam saingan TM Piala Malaysia pada malam ini."

Bagi keberadaan pemain, Selangor FC terpaksa melupakan khidmat Syahmi Safari kerana digantung satu perlawanan setelah menerima kad merah dalam saingan Liga Super baru-baru ini dan masih tidak dapat menurunkan pemain pertahanan import, Tim Heubach yang masih dalam proses pemulihan.

Seorang lagi pemain Jerman, Manual Konrad dan penjaga gol, Tauffiq Ar-Rasyid juga tersenarai dalam senarai kecederaan terbaru Gergasi Merah.

Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah; Halim Saari, Shahrel Fikri dan ketua pasukan, Brendan Gan juga masih menjalani sesi pemulihan jangka masa panjang dan dijangka akan kembali ke pasukan selepas tamat musim ini.

Penyokong Selangor bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin telah kembali bersama pasukan setelah pulih daripada kecederaan.

Semoga Selangor FC dapat meraih tiga mata pertama saingan TM Piala Malaysia 2021 sebelum terbang ke Kuala Terengganu pada minggu hadapan untuk bertemu Terengganu FC. Ayuh Gergasi Merah ku!

Demi kebanggaan.