Oct 04, 2021 - FASMinggu lalu, empat pemain Selangor FC, Khairulazhan Khalid, Syahmi Safari, Sharul Nazeem dan Mukhairi Ajmal telah dipanggil untuk menyertai barisan skuad Harimau Malaya yang akan berlepas ke Amman, Jordan bagi menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 menentang Jordan dan Uzbekistan.
Walau bagaimanapun, dua pemain pertahanan Gergasi Merah, Syahmi Safari dan Sharul Nazeem tidak menyertai panggilan berkenaan pada saat-saat akhir kerana telah mengalami kecederaan.
Perlawanan persahabatan antarabangsan tier 1 ini dilakukan bagi membuat persiapan awal menjelang saingan utama Piala AFF yang akan berlangsung dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari depan.
Untuk rekod, dua pemain muda Selangor FC iaitu Sharul Nazeem (22 tahun) dan Mukhairi Ajmal (20 tahun) telah tersenarai dalam 24 pemain yang dipanggil untuk menyertai aksi antarabangsa bersama pasukan senior kebangsaan buat kali pertama dalam karier bola sepak mereka.
Mukhairi, yang telah mengumpul sebanyak 958 minit permainan dan telah menjaringkan satu gol dan menyediakan satu ‘assist’ bersama Gergasi Merah sepanjang musim ini menyatakan kesyukuran atas peluang yang diberikan.
“Saya rasa sangat bersyukur kerana telah mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan buat kali pertama,” kata pemain perancang tengah tersebut.
“Dengan peluang yang telah diberikan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Coach Tan Cheng Ho dan barisan kejurulatihan, saya akan lakukan sebaik mungkin dengan apa yang ada dalam diri saya.”
“Syukur ini semua berkat saya kerja keras selama ini dan rezeki Allah kurniakan kepada saya,” tambahnya.
Skuad kebangsaan dijadualkan menentang Jordan yang menduduki tangga ke-93 ranking FIFA pada 6 Oktober dan Uzbekistan pada 9 Oktober 2021. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung jam 11 malam waktu Malaysia.
Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan kebangsaan, terutamanya barisan pemain Gergasi Merah dalam menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 ini. Ayuh Malaysiaku!
Demi Kebanggaan.