The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Red Giants Care Umumkan Kolaborasi Bersama GlobalSadaqah

Oct 07, 2021 - FAS

Kuala Lumpur, 7 Oktober 2021 - GlobalSadaqah, platform pengurusan CSR, zakat dan wakaf, penerima pelbagai anugerah hari ini telah mengumumkan kolaborasi dengan Red Giants Care, entiti yang menguruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi Selangor FC.

Ditubuhkan pada April 2021, Red Giants Care memfokuskan kepada perancangan dan pelaksanaan program-program CSR untuk penyokong dan golongan kurang berkemampuan di Selangor.

Melalui kolaborasi ini, Red Giants Care akan menjalankan program sosial dan kebajikan bersama GlobalSadaqah untuk memberi impak positif kepada kehidupan lebih ramai orang terutama yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan di Selangor.

"Ini adalah kolaborasi penting yang senada dengan komitmen GlobalSadaqah untuk bekerja dengan organisasi yang mempunyai objektif yang sama dalam menjalankan usaha kebajikan bagi masyarakat," kata Ketua Pegawai Eksekutif GlobalSadaqah, Ifran Tarmizi.

"Red Giants Care adalah simbol komitmen Selangor FC untuk memberikan sesuatu kembali kepada rakyat Selangor, dan kami berharap dengan kolaborasi ini, GlobalSadaqah juga dapat berbakti kepada masyarakat Selangor dengan lebih baik secara khusus dan kepada seluruh rakyat Malaysia secara amnya," tambahnya.

Melalui kepimpinan Presiden Selangor FC, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, matlamat Selangor FC adalah untuk menjadi organisasi sukan bertaraf dunia melalui tadbir urus yang utuh dan prestasi pasukan yang baik.

Dengan jenama SFC yang cukup dekat di hati rakyat Selangor, diharapkan kelab ini bukan sahaja dapat mengembalikan kegembiraan dan kebanggaan bola sepak kepada penyokong Gergasi Merah malah dapat berbakti kepada lebih ramai orang dengan menjadi lebih daripada sebuah kelab bola sepak.

Antara program yang pernah dijalankan di bawah inisiatif Red Giants Care termasuk program bank makanan, Kit Ehsan kepada yang memerlukan, penyaluran dana bantuan COVID-19 untuk penyokong yang kurang bernasib baik dan program Infaq Ramadhan untuk rumah anak yatim dan orang tua.

Di masa depan, Red Giants Care turut menyasarkan sesi latihan bola sepak akar umbi percuma untuk anak-anak kurang berkemampuan di Selangor, mengadakan sesi pemerkasaan komuniti bola sepak tempatan, menjalankan aktiviti penjagaan alam sekitar, menawarkan pendidikan bola sepak percuma dan juga menawarkan program bola sepak untuk golongan sasar khas dan program-program komuniti yang lain.

"Matlamat kami adalah untuk dapat memberikan bantuan yang konsisten kepada mereka yang memerlukan dan kurang bernasib baik di sekitar Selangor, termasuk penyokong kelab yang kurang berkemampuan yang sering diabaikan terutama dalam industri sukan," kata Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Eksekutif Pegawai Selangor FC.

“Kami juga berhasrat untuk menjadi platform pilihan kepada mereka yang ingin menyalurkan sumbangan, para sukarelawan dan pemegang taruh dalam menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan sambil melibatkan lebih banyak bahagian program dan aktiviti kesejahteraan masyarakat. Kami berharap kolaborasi baharu bersama GlobalSadaqah dapat membantu kami dalam mencapai matlamat jangka masa panjang kami. "