Oct 13, 2021 - FASKepentingan pendidikan akademik telah mencapai kesedaran yang lebih besar dalam bola sepak moden sejak kebelakangan ini. Tidak lagi hanya fokus kepada latihan dan berharap mereka akan menjadi pemain profesional, kerana realitinya ramai pemain muda yang tidak berpeluang untuk meneruskan bermain bola sepak secara profesional.
Menurut satu kajian yang dilakukan di England, hanya 0.012 peratus anak muda yang mendapat latihan teratur di negara berkenaan yang akan bermain di Liga Perdana.
Statistik ini menggambarkan betapa sukarnya bagi pemain muda untuk menjadi pemain profesional di peringkat tertinggi di seluruh dunia. Jesteru, adalah penting bagi pemain muda untuk memastikan masa hadapan yang lebih cerah dengan melengkapkan diri dengan pendidikan akademi yang baik.
Tidak seperti pelajar lain yang hanya boleh fokus di bangku sekolah dan menyelesaikan kerja rumah mereka, pemain akademi hanya mempunyai beberapa jam sebelum atau selepas latihan untuk melakukan perkara yang sama.
Dengan melengkapkan diri dengan pendidikan yang lebih baik, pemain-pemain muda yang tidak dapat bermain di peringkat tertinggi masih dapat memiliki masa depan yang selamat di luar bola sepak.
Bahkan, pemain profesional seperti Juan Mata dari Manchester United, juga turut menyambung pengajian di universiti dan dilaporkan mempunyai gelaran dalam bidang kewartawanan dan sains sukan.
Selangor FC di bawah kepemimpinan Pengerusi, Yang Mulia DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menyedari betapa pentingnya pendidikan akademik untuk pemain bola sepak kelab ini. Jesteru, baginda telah mendorong pemain-pemain pelapis Gergasi Merah untuk memulakan pengajian di peringkat tinggi sewaktu mereka berlatih dan bermain untuk kelab.
Hasilnya, lapan lagi pemain muda Selangor FC telah menjejakkan kaki ke menara gading pada musim ini.
Mereka ialah Syahmi Adib, Haziq Zaki, Azrin Afiq Rusmini, Haiqal Haqeem, Adim Muzahhir, Amirul Haziq, Syaizwan Saide dan Akmal Izzudin, yang semuanya berumur 18 tahun kecuali Azrin yang berusia 19 tahun.
Mereka semua baru-baru ini mendaftar di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), di bawah mod pengajian yang dirancang khusus untuk atlet. Buat masa ini, kesemua pemain ini berada dalam skuad Selangor FC 2, Piala Presiden dan Piala Remaja.
"Saya memutuskan untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma sebagai sokongan untuk karier bola sepak saya. Di AMD (Akademi Mokhtar Dahari), mereka mendorong kami untuk meneruskan pengajian akademik, sementara ibu bapa saya juga mahukan saya memberi tumpuan kepada kedua-dua bidang ini. Jadi, saya perlu bahagikan masa yang sebaiknya untuk pelajaran dan latihan.”
"Namun, saya juga harus perlu melakukan pengorbanan kerana jarang dapat meluangkan masa atau keluar bersama rakan-rakan yang lain," jelas Haziq Zaki, yang pada tahun ini memperoleh 6 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengurusan masa yang baik amat penting dalam menguruskan soal pelajaran dan akademik, lebih-lebih lagi jika pemain tersebut turut mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan. Azrin Afiq Rusmini adalah salah satu daripada pemain tersebut kerana dia dipanggil menyertai skuad Malaysia B-23, pada bulan yang sama pengajian diploma bermula.
"Jujurnya, ia agak sukar untuk berlatih dan perlu menghadiri kelas pada masa yang sama, tetapi ia bukanlah satu masalah kerana saya hanya akan bersama pasukan kebangsaan selama sebulan sahaja dan kelas saya pada semester ini diadakan dalam talian,” jelasnya.
“Jika saya tidak dapat hadir ke kelas, saya akan berhubung dengan pensyarah, untuk mengulangkaji serta membaca nota kuliah dan meminta rakan sekelas untuk membantu saya.”
"Kelab telah mendorong kami pemain untuk menyambung pelajaran dengan dua sebab; pertama kerana kami takkan mungkin akan dapat bermain untuk selama-lamanya. Kedua, kerana mereka mahu kami kembali semula ke kelab selepas kami sudah tidak bermain lagi, bagi membantu kelab dengan isu-isu teknikal dan kejurulatihan. Dengan cara itu, bekas pemain boleh kembali ke Selangor FC di masa hadapan sebagai saintis sukan di kelab ini, misalnya," terang pemain pertahanan Selangor FC 2 tersebut.
Selain lapan pemain muda ini, sudah terdapat enam lagi pemain di Selangor FC yang turut menyambung pelajaran sebelum ini dengan tiga daripadanya telahpun menghabiskan pengajian mereka di peringkat diploma.
Sebagai contoh, prestasi Ahmad Danial Asri dalam Liga Super Malaysia musim ini telah meniti bibir para peminat Selangor FC setelah beliau telah diserap sebagai pemain tetap bagi skuad utama Gergasi Merah.
Di padang, Danial telah menjaringkan tiga golnya dalam 22 penampilan kompetitif setakat ini, tetapi apa yang tidak diketahui oleh penyokong adalah bahawa Danial juga telah berjaya menghabiskan pengajian diplomanya pada tahun lalu.
Baru-baru ini, penyerang yang juga dikenali sebagai Chang dalam kalangan rakan sepasukannya ini turut berkongsikan komitmennya untuk pendidikan akademik dengan murid-murid Sekolah Kebangsaan Taman Alam Megah melalui SFC Soccer Schools Outreach.
"Adik-adik, disebabkan adik-adik masih bersekolah, penting bagi adik-adik untuk menumpukan perhatian pada pelajaran. Adik-adik boleh bermain dan berlatih bola sepak, tetapi adik-adik perlu memberikan fokus 100 peratus kepada pelajaran, seperti yang adik-adik lakukan di padang.”
"Adik-adik perlu memberikan komitmen dengan baik; jangan sesekali mengabaikan pelajaran untuk fokus hanya pada bola sepak. Belajar bersungguh-sungguh bagaimana adik-adik berlatih bola sepak," kata pemain kelahiran Rawang ini.
Budaya kecemerlangan di Selangor FC tidak terhad hanya di atas padang. Kelab ini mahu pemain dan pegawainya turut berjaya di luar aspek bola sepak juga, seperti yang ditunjukkan oleh pemain-pemain muda ini.
Disediakan oleh: Zulhilmi Zainal